Belasungkawa Salleh Abas: Kembalinya seorang guru


AWAL pagi ini, saya terima berita kematian bekas ketua hakim negara Mohamed Salleh Abas. Al-Fatihah.

Almarhum bukanlah kenalan atau orang yang rapat dengan saya. Saya hanya berkesempatan bertemu beliau sekali saja, kira-kira sepuluh tahun yang lalu, bersama Saifuddin Nasution di sebuah restoran nasi Arab di Ampang. 

Tetapi, tanpa disedari beliau adalah seorang guru yang penting dalam perjalanan karier saya. 

Pada tahun 1988, Umno dipimpin oleh presidennya dan juga Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad. Majoriti rakyat Malaysia ketika itu sama ada menjadi penyokong atau pengkagum Dr Mahathir, termasuk saya yang baru lepas (tak lulus) universiti dan masih mentah dalam isu semasa. 

Dalam Perhimpunan Agung Umno 1987, Dr Mahathir dicabar oleh Tengku Razaleigh (Ku Li) dan Dr Mahathir hanya menang dengan 43 undi. Keputusan ini dicabar di mahkamah kerana dikatakan ada pengundi hantu. 

Atas kelicikan Dr Mahathir, mahkamah bertindak mengharamkan Umno. Trick ini dibuat supaya dia boleh terus berkuasa, menubuhkan Umno Baru dan membuang Ku Li dan gengnya dari Umno. 

Tetapi kes tersebut dirayu ke Mahkamah Agung (sekarang Mahkamah Persekutuan). 

Salleh selaku Ketua Hakim Negara ketika itu dijangka mendengar rayuan ini bersama 9 hakim yang lain. 

Dr Mahathir nampak ini tidak bagus kerana trick yang dibuatnya itu bertentangan dengan undang-undang. Jika sidang Mahkamah Agung diteruskan, kedudukan beliau dalam bahaya. 

Maka bertindak Dr Mahathir memecat Salleh. Sedangkan Salleh hanya menjalankan tugas mendaulatkan undang-undang.

Salleh terus melawan dan membawa kes ini ke mahkamah. Semua lima hakim yang bakal mendengar kes ini juga dipecat oleh Dr Mahathir bagi menyelamatkan kedudukannya supaya dia terus berkuasa. 

Dari detik tersebut, hakim-hakim pengampu dan penjilat dinaikkan pangkat dan hakim-hakim berwibawa di ‘cold storage’ dan sedikit demi sedikit hilang jumlahnya.

Sejak itu, sistem kehakiman di Malaysia telah hancur berantakan dan kewibawaannya tidak pulih sampai saat ini! 

Kes Salleh benar-benar membuka mata saya. Saya mula terbangun dari fahaman feudal dan mula berfikir secara kritis – kaedah yang kemudiannya dipakai dalam lukisan kartun saya. 

Saya mula menyedari kezaliman dan betapa hipokritnya manusia bernama Mahathir ini – sebuah sistem bermartabat sanggup dihancurkan demi menyelamatkan kuasanya. 

Dan, ini baru permulaan kepada episod-episod seperti itu kemudiannya. Kerana itu, saya tidak dapat memaafkan orang zalim ini sampai sekarang! 

Selamat jalan guruku, Tun Salleh. Terima kasih kerana sebuah pelajaran yang bermakna. 

Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin. – 16 Januari, 2021.

* Zunar merupakan kartunis politik terkenal tanah air.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen