Kumpulan guru bantu pelajar terjejas beri tuisyen dalam talian percuma


Raevathi Supramaniam

'Naam Anbukarangal yang bertujuan membantu rakyat miskin dapat pendidikan lebih baik kini mempunyai lebih kurang 2,000 pelajar dari seluruh negara. – Gambar The Malaysian Insight, 16 September, 2021.

SEMANGAT tinggi untuk membantu rakyat miskin mendapat pendidikan yang lebih baik mendorong sekumpulan guru mengadakan tuisyen dalam talian secara percuma.

Kumpulan “Naam Anbukarangal” yang diterjemahkan sebagai “Sayang dan Peduli” kini mempunyai lebih kurang 2,000 pelajar dari seluruh negara selepas mereka memulakan pengajaran dalam talian secara percuma pada 1 September.

Pengasasnya, Vijayan Yankteshery, 36, memulakan kelas dalam talian secara percuma itu dengan cita-cita membantu semua pelajar tanpa mengira bangsa atau agama.

“Waktu kami bermula, saya cuma tolong mereka yang berada di Klang. Saya bagi bahan makanan dan komputer yang diperbaiki semula kepada keluarga dan pelajar B40.

“Kemudian saya pasang cita-cita ingin menolong lebih ramai orang dengan luaskan ke seluruh negara. Saya ada idea mengajar tuisyen percuma. Saya sebarkan idea itu dan kemudian dapat maklum balas yang sangat baik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Naam Anbukarangal kini mempunyai lebih kurang 70 anggota, 13 daripadanya guru sukarela. Ahli yang lain membantu dalam program lain kumpulan itu dengan memberi barang runcit dan komputer yang diperbaharui kepada mereka yang memerlukan.

Walaupun semua guru berbangsa India Malaysia, namun pelajarnya dari seluruh negara, malah dari Sabah dan Sarawak juga. Mereka dari Malaysia timur kebanyakannya mendaftar untuk kelas sejarah.

Mata pelajaran lain yang diajar ialah Matematik, Sains, Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Ekonomi, Sejarah, Moral, dan Bahasa Tamil.

Kelas dibuka kepada pelajar dari Darjah 1 hingga Tingkatan 5.

“Kami ada 13 guru sukarela, 10 guru sekolah kebangsaan sementara dua yang lain pelajar universiti yang ada pengalaman mengajar tuisyen.

“Mereka semua sukarela luangkan masa mengajar. Kami di sini bukan untuk buat duit,” kata Vijayan.

Beliau sendiri merupakan guru ekonomi di SMJK Chung Hwa, Klang dan meluangkan masa memberi tuisyen mengenai matapelajaran tersebut kepada pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 setiap malam Khamis.

“Saya ada lebih kurang 159 pelajar yang berdaftar untuk kelas tuisyen dalam talian secara percuma. Tujuan saya untuk dapatkan pelajar SPM yang pendidikannya terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” katanya yang mempunyai berpengalaman lebih 18 tahun mengajar.

Walaupun pelajaran percuma ditumpukan bagi membantu pelajar yang memerlukan, Vijayan mengakui sukar untuk menentukan siapa sebenarnya daripada B40.

“Kami ada borang Google untuk mereka mendaftar. Kami minta mereka bersikap jujur ​​sama ada mereka berasal daripada kumpulan B40, tetapi sebenarnya kami tidak dapat berbuat apa-apa untuk elak golongan bukan B40 sertai kelas, kecuali apabila kami minta mereka tunjukkan slip gaji ibu bapa.

“Oleh itu, kami ambil semua orang yang berdaftar. Apa-apa pun, tujuan utama kami adalah beri pendidikan kepada semua.”

Buat masa ini, kelas tuisyen dalam talian percuma akan berlangsung selama lima bulan sebelum mereka memutuskan langkah seterusnya, tambah Vijayan.

Mengajar cara dapat markah tinggi

Sukarelawan Panchali K. Rama, 57 adalah guru Bahasa Inggeris di SMK Pandan Indah di Ampang.

Berpengalaman lebih 35 tahun sebagai pengajar, beliau memutuskan untuk meluangkan masanya membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris kerana beliau dapati ramai rakyat Malaysia tidak menguasa bahasa itu.

“Saya semak kertas SPM dan saya ingin tolong pelajar belajar subjek ini supaya mereka dapat menulis dan menjawab dengan betul.

“Jika sebelum ini mereka akan gagal, mudah-mudahan dengan mengikuti kelas saya, mereka paling tidak dapat pun lulus dan bagi mereka yang dapat C atau B, mereka boleh dapat markah yang lebih baik dari itu,” katanya.

Kira-kira 400 pelajar telah mendaftar mengikuti kelas tuisyen dalam talian percuma, katanya.

“Saya ada 200 pelajar Tingkatan 4 dan 200 pelajar Tingkatan 5 yang saya ajar melalui Google Meet.

Seorang guru lain, Kasturi Shanmugam berkata beliau gembira meluangkan masa mengajar kerana ia inisiatif yang bagus.

“Saya rasa ini idea yang baik dan perkhidmatan yang bagus untuk masyarakat kita. Tambahan, tumpuan kami adalah pelajar B40, mereka yang benar-benar ingin belajar tetapi tidak mampu,” kata Shanmugam, yang mempunyai pengalaman mengajar 11 tahun.

Sementara itu, Abilasha Thanabal, 22, yang mengajar tuisyen sejak berusia 15 tahun, memutuskan untuk meluangkan masa mengajar mengajar secara percuma semasa cuti semesternya.

“Saya mengajar Matematik untuk pelajar Darjah 1 hingga 3 setiap malam Jumaat. Saya ada sekitar 88 pelajar sekarang,” katanya.

Sebelum pandemik Covid-19, Thanabal yang belajar agroteknologi di Universiti Malaysia Kelantan berkata beliau selalunya mengajar di pusat tuisyen.

“Saya tak ada gaji di sini, tapi saya tak kisah.”

Satu-satunya penyesalannya ialah beliau tidak dapat jadi sukarelawan lebih banyak waktu kerana perlu menjaga adiknya yang autis, memandangkan ayahnya, seorang pemandu lori, sering berjauhan. – 16 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen