Najib tolak akta antilompat parti, cadang pemilihan semula


Najib Razak berkata melalui pemilihan semula lebih adil kepada parti asal dan pengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

MENGHARAMKAN ahli Parlimen melompat parti selepas menang dalam pilihan raya umum (PRU) bukanlah penyelesaian terbaik, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Langkah itu malah akan memburukkan lagi keadaan jika ahli Parlimen terbabit sudah selesa dengan parti lain tetapi terpaksa kekal dalam parti asal disebabkan akta yang melarang mereka berbuat demikian, tambahnya.

“Lagi banyak masalah yang akan dicetuskan pada parti asal mereka.

“Walaupun parti yang paling banyak menerima lompatan katak politik mahu akta antilompat parti dilaksanakan segera (mungkin bimbang katak akan lompat lagi kot), mengharamkan ahli Parlimen dari lompat ke parti lain setelah menang dalam PRU bukan cara penyelesaiannya,” kata Najib menerusi catatan di Facebook.

Ahli Parlimen itu dipercayai merujuk kepada Bersatu yang sebelum ini mencadangkan supaya akta antilompat parti dilaksanakan. 

Ia dibangkitkan Muhyiddin Yassin yang juga presiden Bersatu ketika menawarkan kerjasama rentas parti kepada pembangkang sebelum meletak jawatan perdana menteri.

Najib sebaliknya mencadangkan supaya ‘recall election’ atau pemilihan semula diadakan, seperti yang diamalkan beberapa negara Komanwel lain.

“Ahli parti yang mahu tukar parti atau dipecat parti mereka akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen dan pilihan raya kecil akan dilaksanakan bagi kawasan parlimen tersebut.

“Cara ini lebih adil pada parti asal dan bagi pengundi,” katanya.

Pemilihan semula juga disebut bekas timbalan speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said dalam catatan di Facebook pada Sabtu, yang menurutnya cara itu membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti.

Tindakan melompat parti mengganggu imbangan kuasa dan menjadi punca politik Malaysia hari ini kucar-kacir, katanya yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Cadangan undang-undang antilompat parti juga dikatakan antara butir rundingan antara Pakatan Harapan dan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakon untuk perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) terhadap kerajaan.

Lompat parti pada masa ini tidak dihalang kerana Perlembagaan Persekutuan memperakui kebebasan berpersatuan sebagai hak yang dilindungi.

Terdahulu hari ini, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mengulangi cadangannya kepada kerajaan supaya menggubal undang-undang antilompat parti.

Ahmad pertama kali mencadangkan undang-undang itu selepas enam lagi ahli Parlimen Umno diketuai Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin keluar parti dan kemudian menyertai Bersatu.

Ketika itu juga sekumpulan pemimpin Umno Sabah keluar parti menyebabkan Umno kehilangan beberapa ahli Parlimen, wakil rakyat negeri, dan senator sementara parti negeri hampir lumpuh.

Mereka kemudian memegang jawatan dalam kerajaan Muhyiddin dan dikekalkan dalam jemaah menteri Ismail Sabri.  – 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen