Ahmad Maslan ulangi cadangan gubal undang-undang antilompat parti


Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata undang-undang antilompat parti penting untuk demokorasi negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

SETIAUSAHA Agung Umno Ahmad Maslan mengulangi cadangannya kepada kerajaan supaya menggubal undang-undang antilompat parti.

Beliau menyertai Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Azalina Othman Said menyuarakan kepada pentadbiran perdana menteri baharu Ismail Sabri Yaakob akan pentingnya undang-undang seperti itu untuk demokrasi Malaysia.

“Pada 20/12/2018 saya pernah cadang agar kerajaan Pakatan Harapan bentang di Parlimen tentang Akta Antilompat Parti

“Ketika itu tiada siapa kisah. Maka saya ingin ulangi cadangan itu kepada kerajaan Malaysia yang baru bawah Datuk Seri Ismail Sabri.

“Jangan cemari demokrasi di negara ini. Hentikan lompat parti,” tulisnya di Twitter pagi ini.

Ahmad pertama kali mencadangkan undang-undang itu selepas enam lagi ahli Parlimen Umno diketuai Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainuddin keluar parti dan kemudian menyertai Bersatu.

Ketika itu juga sekumpulan pemimpin Umno Sabah keluar parti menyebabkan Umno kehilangan beberapa ahli Parlimen, wakil rakyat negeri, dan senator sementara parti negeri hampir lumpuh.

Mereka kemudian memegang jawatan dalam kerajaan Muhyiddin Yassin dan dikekalkan dalam jemaah menteri Ismail Sabri, yang akan mengangkat sumpah hari ini.

Semalam, Azalina yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat berkata undang-undang antilompat parti boleh melindungi mandat pengundi yang memilih wakil mereka ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri melalui pilihan raya.

Katanya, tindakan lompat parti mengganggu imbangan kuasa dan menjadi punca politik Malaysia hari ini kucar-kacir.

Lompat parti pada masa ini tidak dihalang kerana Perlembagaan Persekutuan memperakui kebebasan berpersatuan sebagai hak yang dilindungi.

Perlindungan undang-undang itu dipertegaskan oleh mahkamah tertinggi negara pada 1992 yang memutuskan pindaan undang-undang tubuh Kelantan yang menyekat lompat parti sebagai tidak sah.

Undang-undang lompat parti adalah antara tawaran reformasi yang disebut oleh bekas perdana menteri Muhyiddin semasa menagih sokongan pembangkang ketika beliau hilang majoriti di Dewan Rakyat, tiga hari sebelum akhirnya letak jawatan.

Cadangan sama dikatakan antara butir rundingan antara Pakatan Harapan (PH) dan Ismail Sabri untuk perjanjian keyakinan dan pembekalan (CSA) terhadap kerajaannya yang juga mempunyai majoriti tipis di Dewan Rakyat.

The Malaysian Insight hari ini melaporkan Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno menyerahkan perkara itu untuk ditentukan oleh Jemaah Menteri.

Pada masa ini, hanya perlembagaan negeri Pulau Pinang yang masih mempunyai peruntukan antilompat parti, yang dipinda pada November 2012.

Pada Oktober 2020, kerajaan Ketua Menteri Chow Kon Yeow membatalkan cadangan untuk membentang usul menguatkuasakan peruntukan tersebut terhadap empat Adun yang keluar PH, dengan alasan tidak sesuai dibahaskan di tengah penularan Covid-19.

Sabah juga pernah ada undang-undang sama, yang dimasukkan dalam perlembagaan negeri pada 1988. Ia bagaimanapun dimansuhkan pada 1995. – 30 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen