Undang-undang anti lompat parti lindungi mandat pengundi, kata Azalina


Bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azalina Othman Said berkata perbuatan lompat parti mengganggu imbangan kuasa wakil rakyat di Dewan Rakyat yang membuat undang-undang, kelangsungan kerajaan dan demokrasi berparlimen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2021.

AKTA Mencegah Lompat Parti akan melindungi mandat pengundi dan mengurangkan kejutan kepada keseimbangan kuasa serta kemelut antara semua parti politik, kata Azalina Othman Said.

Dalam satu lembaran soal jawab mengenai akta berkenaan di Twitter hari ini, bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat itu berkata, politik Malaysia kini kucar-kacir kerana lompat parti.

“Perbuatan ini mengganggu imbangan kuasa wakil rakyat (ahli Parlimen) di Dewan Rakyat yang membuat undang-undang, kelangsungan kerajaan dan demokrasi berparlimen,” katanya.

Tidak ada Akta Mencegah Lompat Parti di Malaysia kerana hak ini dipelihara di bawah Perkara 10, Perlembagaan Malaysia.

“Salah satu kaedah yang boleh diambil dalam Akta Mencegah Lompat Parti adalah memperkenalkan ‘Pilihanraya untuk Memecat Wakil Rakyat’ atau Recall Election.

“Recall Election merupakan mekanisme membolehkan rakyat menarik balik mandat yang diberikan kepada wakil rakyat sekiranya mereka melompat parti dan pilihan raya kecil akan diadakan semula di kawasan tersebut untuk memilih wakil rakyat baharu,” kata bekas menteri Barisan Nasional.

Minggu lalu, Azalina mengingatkan Timbalan Menteri yang baru dilantik di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen), Mas Ermieyati Samsudin untuk meletakkan undang-undang anti lompat parti sebagai keutamaan bagi kerajaan baharu.

Mas Ermieyati adalah antara 15 ahli Parlimen Umno yang melompat ke Bersatu selepas kerajaan Barisan Nasional jatuh pada 2018.

Undang-undang anti lompat parti juga merupakan salah satu pembaharuan yang dibincangkan antara pemimpin Pakatan Harapan dan Perdana Menteri baharu, Ismail Sabri Yaakob, kononnya sebagai pertukaran untuk sokongan pembangkang kerana majoriti Parlimennya yang tipis. – 29 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen