2 suspek pengganas Malaysia di Guantanamo didakwa esok


(Dari kiri) Hambali, Mohamad Nazir Lep, Mohd Farik Amin akan didakwa di mahkamah tentera esok.

DUA rakyat Malaysia yang diberkas sejak 2003 susulan kes pengeboman di Indonesia akan didakwa di mahkamah tentera esok, menurut Suruhanjaya Ketenteraan Amerika Syarikat (AS).

Ia menyebut, Mohammed Nazir Lep, 44, dan seorang lagi Mohammed Farik Amin, 46, akan didakwa bersama Hambali, individu yang disebut sebagai dalang kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Pendakwaan tersebut, yang disokong Malaysia, merupakan tuduhan rasmi pertama ke atas ketiga-tiga lelaki itu yang ditahan sejak 2006 di pangkalan tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

Menurut kertas pertuduhan itu, mereka tertakluk kepada perbicaraan oleh suruhanjaya tentera kerana melakukan keganasan ke atas AS dan tidak berhak mendapat perlindungan Konvensyen Geneva.

Kertas pertuduhan disiarkan laman suruhanjaya itu menyebut, dua rakyat Malaysia itu berdepan sembilan pertuduhan manakala Hambali menghadapi lapan pertuduhan.

Ketiga-tiga lelaki itu antara lain akan dituduh dengan dakwaan melakukan konspirasi, pembunuhan, percubaan membunuh, sengaja menyebabkan kecederaan tubuh yang serius dan keganasan.

Selain itu, mereka juga berdepan tuduhan menyerang orang awam, melakukan serangan terhadap harta benda awam serta pemusnahan harta benda yang melanggar undang-undang peperangan.

Tuduhan itu antara lain berkaitan serangan bom Oktober 2002 yang menyebabkan 202 nyawa terkorban di Bali dan disifatkan serangan maut pengganas paling buruk di Indonesia.

Kertas pertuduhan itu menyebut Nazir sebagai Lillie, yang merupakan antara 13 lagi nama lain digunakannya dan Farik sebagai Zubair, antara 15 nama samarannya.

Hambali atau nama sebenarnya Encep Nurjaman didakwa bertemu dengan kedua-duanya antara 1999 dan awal 2000 sewaktu menyampaikan kuliah agama di sebuah masjid.

Pertuduhan ke atasnya antara lain menyebut beliau sebagai individu yang merekrut pejuang dari Asia Tenggara dan membantu perjalanan mereka bagi mendapatkan latihan serangan bom.

Ia turut menyatakan urutan peristiwa dan pertemuan dengan ketiga-tiganya dan juga individu lain yang didakwa bersekongkol dalam kes itu.

Beliau antara lain didakwa mengatur perjalanan Nazir dan Farik ke Afghanistan pada 2000 untuk mereka menjalani latihan dan menyertai pertempuran Al-Qaeda.

Seterusnya dalam kes pengeboman Bali 2002, ia antara lain menyebut peranan Nazir menerima wang di Thailand dan menyerahkannya pada Hambali bagi membiaya serangan.

Farik juga diarahkan Hambali untuk berada di Thailand pada waktu itu dan tiada jumlah wang disebut dalam pertuduhan berkenaan.

Bagi kes serangan JW Marriott 2003 pula, pertuduhan itu menyatakan peranan Nazir dan Farik menerima dan mengagihkan wang di Bangkok untuk operasi tersebut.

Menurut pertuduhan, ia menyebut Farik menerima wang hampir AS$100,000 secara berperingkat untuk membiaya serangan.

Ia mendakwa, wang tersebut kemudiannya diserahkan kepada suspek serangan, yang kemudiannya melaksana pengeboman pada 5 Ogos yang mengorbankan 12 nyawa.

Ketiga-tiganya ditangkap pada 2003 dan dihantar ke rangkaian penjara rahsia CIA sebelum dipindahkan ke Guantanamo pada September 2006.

Nazir ditahan bersama Hambali di Thailand manakala Farik ditahan di Kemboja dan kemudian dihantar ke rangkaian penjara rahsia CIA sebagai suspek pengganas.

Mereka kemudiannya dipindahkan ke pusat tahanan di pengkalan tentera AS di Guantanamo pada September 2006 dan diklasifikasi sebagai “tahanan bernilai tinggi” bersama-sama 16 yang lain.

Kenyataan jabatan pertahanan AS juga menyebut risikan agensinya mengaitkan ketiga-tiganya dengan komplot serangan gelombang kedua di Los Angeles selepas serangan 11 September 2001.

Ia juga menyenaraikan peranan Hambali dalam komplot mensasarkan kepentingan AS dan Israel di Singapura, Australia, Filipina dan operasi lanjut susulan serangan 11 September itu.

Pertuduhan tersebut mendakwa Hambali percaya jihad bermakna “menggunakan keganasan untuk memajukan kepentingan fahaman Islam dan menentang musuh Islam”.

Ia turun menyenaraikan 48 suspek yang didakwa bersekongkol dalam kes itu, termasuk pemimpin Al-Qaeda Osama bin Laden dan pemimpin JI Abu Bakar Bashir.

Nazir, Farik dan Hambali pada awalnya dijadualkan menghadapi pendakwaan di mahkamah tentera di pangkalan Guantanamo pada Februari namun ditunda kerana pandemik Covid-19. – 29 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen