Malaysia sokong bicara kes Nazir, Farik, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani. memberitahu The Malaysian Insight, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong perbicaraan tersebut yang akan memberi peluang tertuduh membela diri.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2021.

MALAYSIA menyokong penuh perbicaraan ke atas dua lelaki tempatan di Amerika Syarikat yang didakwa terlibat dengan pengeboman di Bali dan Jakarta, kata Acryl Sani Abdullah Sani.

Ketua polis negara memberitahu The Malaysian Insight, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyokong perbicaraan tersebut yang akan memberi peluang tertuduh membela diri.

“PDRM menyokong penuh perbicaraan tersebut diadakan kerana hanya melalui proses perundangan, tertuduh akan dapat membela diri dan juga membuktikan sebaliknya jika berada di pihak yang benar.

“Perbicaraan dijalankan secara terbuka dan tertuduh diwakili peguam. Namun, kami tidak akan menghantar pegawai bagi memantau perbicaraan mereka,” katanya.

Beliau mengulas kes dihadapi Mohammed Nazir Lep, 44, dan seorang lagi Mohammed Farik Amin, 46, akan didakwa berkaitan kes pengeboman pada 2002 dan 2003 itu.

Kedua-duanya didakwa bersama Hambali, individu yang disebut sebagai dalang kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Pendakwaan ini merupakan tuduhan rasmi pertama ke atas ketiga-tiga lelaki itu yang ditahan sejak 2006 di pangkalan tentera AS di Teluk Guantanamo, Cuba.

Menurut pertuduhan, mereka tertakluk kepada perbicaraan oleh suruhanjaya tentera kerana melakukan keganasan ke atas AS dan tidak berhak mendapat perlindungan Konvensyen Geneva.

Mohammed Nazir Lep, 44, dan seorang lagi Mohammed Farik Amin, 46, akan didakwa berkaitan kes pengeboman pada 2002 dan 2003 di Indonesia. – 29 Ogos, 2021.

Kertas pertuduhan disiarkan laman suruhanjaya itu menyebut, dua rakyat Malaysia itu berdepan sembilan pertuduhan manakala Hambali menghadapi lapan pertuduhan.

Ketiga-tiga lelaki itu antara lain akan dituduh dengan dakwaan melakukan konspirasi, pembunuhan, percubaan membunuh, sengaja menyebabkan kecederaan tubuh yang serius dan keganasan.

Selain itu, mereka juga berdepan tuduhan menyerang orang awam, melakukan serangan terhadap harta benda awam serta pemusnahan harta benda yang melanggar undang-undang peperangan. – 29 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen