PRESIDEN Donald Trump mengesahkan pada Khamis yang Amerika Syarikat (AS) berjaya membunuh pemimpin Al-Qaeda di Semenanjung Arab - beberapa hari selepas kumpulan militan itu mengaku bertanggungjawab dalam kejadian tembakan di pangkalan tentera laut AS.
AS “melakukan operasi pengganas di Yaman yang berjaya menghapuskan Qassim al-Rimi, pengasas dan pemimpin Al-Qaeda di Semenanjung Arab (AQAP),” kata Trump dalam kenyataan White House.
AQAP mengaku bertanggungjawab pada Ahad berhubung kejadian tembakan 6 Disember di Stesen Angkatan Laut AS Pensacola di Florida, dengan seorang pegawai Angkatan Udara Arab Saudi membunuh tiga kelasi Amerika.
Washington menganggap AQAP menjadi rakaian militan paling berbahaya di dunia.
“Di bawah pimpinan Rimi, AQAP melakukan kekerasan terhadap orang awam di Yaman dan berusaha melakukan pelbagai serangan terhadap AS dan pasukan kita,” kata Trump.
“Kematiannya menjejaskan AQAP dan pergerakan al-Qaeda global, dan ia membawa kita lebih dekat untuk menghapuskan ancaman kumpulan kepada keamanan negara kita.”
Trump tidak memberikan sebarang maklumat terperinci mengenai keadaan atau masa operasi.
Dalam kejadian serangan Pensacola, lapan orang cedera, termasuk dua timbalan sherif yang bertindak balas, sebelum polis menembak mati penyerang itu.
FBI secara rasmi mengenal pasti penyerang itu sebagai Mohammed Alshamrani, 21, leftenn daripada Angkatan Udara Diraja Arab Saudi yang sedang berlatih di AS.
Kumpulan pemantauan SITE itu berkata beliau menyiarkan manifesto ringkas di Twitter sebelum serangan: “Saya menentang kejahatan, dan Amerika secara keseluruhannya telah menjadi negara jahat.”
“Saya benci anda kerana setiap hari anda menyokong, membiayai dan melakukan jenayah bukan sahaja terhadap umat Islam tetapi juga manusia.”
Akaun Twitter yang memaparkan manifesto itu juga mengutuk sokongan AS terhadap Israel dan memasukkan petikan daripada pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden.
Raja Arab Saudi Salman segera mengutuk kejadian tembakan itu sebagai “jenayah kejam” dan berkata pelaku “tidak mewakili rakyat Arab Saudi.”
Kira-kira 850 rakyat Arab Saudi merupakan antara 5,000 anggota tentera asing yang dilatih di AS. – AFP, 7 Februari, 2020.
Komen