Mampukah Sekretariat Solidariti Rakyat bertahan?


Raevathi Supramaniam

Penganalisis mengalu-alukan kemunculan SSR bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab tetapi ada juga yang mempersoalkan apakah ia dapat mengekalkan mesej reformasinya secara konsisten dalam jangka masa panjang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos 2021.

KUMPULAN belia di sebalik tunjuk perasaan #Lawan baru-baru ini, Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) nampaknya mengisi jurang demonstrasi jalanan sejak tunjuk perasaan besar-besaran terakhir yang diadakan Bersih 2.0 pada November 2016, kata penganalisis.

Walaupun tiada perbezaan antara kumpulan masyarakat sivil yang pernah mengadakan demonstrasi jalanan sebelum ini namun SSR mungkin tidak akan dapat menggantikan kumpulan berkenaan kerana masing-masing bergerak dalam acuan reformasi berbeza.

Ketika kumpulan lain memberi fokus untuk mendapatkan perhatian umum, menyuarakan isu pekerjaan atau pendidikan, sebaliknya SSR boleh mengambil peranan mewujudkan kesedaran massa mengenai isu-isu hak kebebasan bersuara.

Penganalisis mengalu-alukan kemunculan kumpulan itu bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab tetapi ada juga yang mempersoalkan apakah SSR dapat mengekalkan mesej reformasinya secara konsisten dalam jangka masa panjang.

Paling penting, SSR harus memerhati strukturnya agar dapat bertahan dalam jangka masa panjang sekiranya mereka berhasrat memainkan peranan berkesan sebagai sebuah kumpulan masyarakat sivil.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata perancangan rapi perlu disusun untuk menghadapi cabaran jangka masa panjang bagi membantu SSR mengekalkan peranannya sebagai kumpulan pendesak.

“Adalah realistik mereka mengatur diri secara berasingan. Justeru, terdapat banyak desakan diberikan kepada sesebuah rejim,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tunku Mohar berkata, SSR dapat menarik perhatian umum dalam jangka masa singkat kerana banyak belia hari ini berasa diabaikan dan suara mereka tidak didengar pihak berkuasa. SSR menjadi saluran untuk mendengar rungutan mereka.

“Pendedahan terhadap gerakan ketidakpatuhan sivil lain di seluruh dunia juga menunjukkan cara untuk memulai sebuah landasan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan masyarakat yang lebih besar mengenai isu-isu yang seharusnya dibimbangi mereka,” katanya.

Beliau menambah untuk mengadakan demonstrasi jalanan semasa pandemik ia memerlukan kebijaksanaan dan kreativiti.

Setakat ini, SSR bertanggungjawab ke atas tiga demonstrasi, bermula dengan tunjuk perasaan #BenderaHitam di media sosial pada 3 Julai di mana kumpulan itu mengajak rakyat Malaysia mengibarkan bendera hitam bagi menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan Perikatan Nasional ketika itu.

Ini diikuti dengan tunjuk perasaan lebih kecil di Dataran Merdeka pada 17 Julai dan konvoi kenderaan bendera hitam pada 24 Julai dan satu lagi tunjuk perasaan #Lawan di Dataran Merdeka pada 31 Julai.

Warna hitam menjadi tema SSR dengan tanda pagar #KerajaanGagal. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos 2021.

Pada perhimpunan itu, warna hitam menjadi warna tema dengan tanda pagar #KerajaanGagal.

Pada 19 Ogos, kumpulan tersebut menganjurkan acara nyalaan lilin untuk mangsa Covid-19, yang berakhir dengan penangkapan beberapa peserta.

Sebanyak 31 orang dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.

Selepas itu, tunjuk perasaan yang dijadualkan berlangsung pada 21 Ogos dibatalkan selepas Muhyiddin mengundurkan diri.

Bagaimanapun, pihak polis mendapat perintah mahkamah untuk menghentikan tunjuk perasaan daripada diadakan. 

Mereka juga menyekat beberapa jalan di bandar pada hari tersebut, walaupun pihak penganjur memberitahu perhimpunan sudah dibatalkan.

Pengarah Ilham Centre Hisommudin Bakar berkata masih perlu dilihat sama ada SSR dapat mengekalkan momentumnya sebagai kumpulan yang menuntut perubahan.

“Tujuan SSR adalah untuk melihat kerajaan bertindak lebih efektif terhadap tuntutan mereka, tetapi kita harus melihat apakah kumpulan ini dapat membawa mesej reformasi secara konsisten dan dalam jangka panjang,” katanya.

Hisommudin juga bersetuju dengan Tunku Mohar walaupun SSR tiada beza dengan kumpulan lain yang menuntut reformasi, penyertaan dalam perhimpunan jalanannya mungkin tidak sebesar anjuran Bersih, kerana protes SSR diadakan semasa pandemik dengan peraturan penjarakan sosial

Mengisi kekosongan

Sementara itu, penganalisis politik Oh Ei Sun berkata pergerakan SSR lebih spontan dan organik berbanding kumpulan lain.

“Jika anda lihat beberapa tunjuk perasaan yang dianjurkan, nampaknya mereka lebih spontan dan organik.

“Bersih dan kumpulan lain mempunyai jawatankuasa pusat, yang menjadi kekurangan SSR. Kepemimpinannya organik dan tidak mempunyai sekretariat tetap, walaupun namanya tidak menunjukkan begitu.”

Beliau juga membandingkan protes #Lawan dengan demonstrasi kilat yang digemari generasi muda, yang mengisi jurang ditinggalkan oleh Bersih.

“Bersih berkembang kepada lebih mengenai pendidikan pemilih dan reformasi pilihan raya, sementara kumpulan seperti Proham bergerak ke arah pendidikan dan meningkatkan kesedaran mengenai hak asasi manusia.

“SSR kini mengisi kekosongan dalam hal mengatur protes jalanan,” katanya.

Bagaimanapun, Oh menyedari SSR sama seperti Bersih dari segi komposisi dan penyertaannya yang berbilang kaum dan pelbagai budaya. – 29 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen