Kenapa tahan kalau aktivis patuh SOP semasa berhimpun, soal Dr Mahathir


Noel Achariam

Seramai 31 ahli kumpulan Sekretariat Solidariti Rakyat yang ditahan kerana menyertai himpunan memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 20 Ogos, 2021.

PESERTA himpunan memperingati mangsa Covid-19 di Dataran Merdeka semalam tidak patut ditahan sekiranya mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri berkata polis sebaliknya harus membenarkan perhimpunan berlangsung selagi tidak berlaku perlanggaran SOP. 

“Kita dapati bahawa semakin lama bukan makin liberal tetap makin ketat tekanan. Sebab itu kalau ada pemuda nak ada demonstrasi tetapi akur kepada SOP saya fikir tiada masalah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dr Mahathir mengulas penahanan 31 ahli kumpulan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) yang ditahan semalam kerana menganjur himpunan tersebut. Selain ditahan, kesemua 31 ahli SSR itu masing-masing dikenakan kompaun RM2,000. 

Ketua Polis Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya berkata mereka ditahan kerana melanggar ketetapan kawalan pandemik Covid-19.

Menurut Dr Mahathir, polis tidak menahan mereka yang menyertai perhimpunan Bersih semasa kerajaan di bawah pentadbiran Najib Razak.

“Di zaman Najib pun bila Bersih keluar demonstrasi mereka tidak ditangkap. Mereka dapat demonstrasi.

“Sekarang ini kita tidak ada demonstrasi bukan kerana undang-undang tapi kerana Covid-19,” katanya.

Ahli Parlimen Langkawi itu juga mengimbas semula ketika beliau bersuara tentang kemarahan rakyat terhadap Raja-Raja Melayu, satu laporan polis dibuat terhadapnya.

“Disebabkan itu, saya polis menyoal siasat saya. Seolah-olah kita tidak boleh beritahu raja bahawa mereka perlu prihatin kepada rakyat.

“Kita bukan hendak guling mereka (raja), tetapi untuk mempertahan kedudukan mereka. Tetapi itu pun tak boleh,”  katanya.

Pada 9 Ogos lalu, polis menyoal siasat Dr Mahathir dan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berhubung perarakan ahli-ahli Parlimen pembangkang ke Parlimen.

Perarakan dari Dataran Merdeka pada 2 Ogos itu susulan mereka dihalang untuk memasuki bangunan Parlimen, yang sepatutnya bersidang hari itu tetapi ditangguhkan atas alasan jangkitan Covid-19. – 20 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen