Protes Lawan diteruskan untuk tekan kerajaan baharu, kata aktivis


Pada 31 Julai, Sekretariat Solidariti Rakyat menganjurkan perhimpunan Keluar dan Lawan di Kuala Lumpur dan, lima aktivisnya disiasat polis. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Ogos, 2021.

SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR) akan meneruskan perhimpunan Lawan pada 21 Ogos ini walaupun Muhyiddin Yassin dan kerajaannya letak jawatan semalam.

Jurucakap SSR, Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar berkata, pihaknya tidak menolak pilihan untuk berhimpun pada Sabtu ini.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang adalah kami masih berbincang mengenai langkah seterusnya.

“Terdapat banyak ketidakpastian sekarang tetapi kami tidak ketepikan untuk tetap turun pada Sabtu ini,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Menurutnya, disebabkan itu, dua hingga tiga wakil SSR akan berjumpa dengan polis Dang Wangi esok berhubung perhimpunan itu.

“Kami dipanggil ke Dang Wangi esok pagi untuk berbincang mengenai perhimpunan yang bakal diadakan itu,” katanya.

Ketika ditanya alasan untuk meneruskan perhimpunan berikutan Muhyiddin Yassin sudah meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Mohammad Asraf berkata, perhimpunan Sabtu ini akan memberi tekanan kepada kerajaan yang bakal ditubuhkan.

“Masih tidak pasti bentuk kerajaan yang akan dibentuk. Dan kami merasakan bahawa kami harus menekan sesiapa sahaja yang berkuasa untuk mengerah tenaga mereka untuk memperkasakan demokrasi, membantu rakyat, dan menstabilkan politik. 

“Sekiranya kami turun, itu adalah alasannya. Buat masa ini kami masih belum memutuskan, tindakan apa yang akan kami lakukan. Oleh itu, kita akan menunggu dan melihat sebelum membuat keputusan,” katanya.

Sebelum ini, polis sudah memanggil tujuh aktivis SSR untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berkaitan himpunan yang bakal diadakan itu.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Beberapa individu lain akan turut dipanggil dalam tempoh terdekat,” kata Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya dipetik Bernama.

Noor Dellhan ketika dihubungi Bernama mengesahkan kesemua mereka hadir di IPD berkenaan.

Pada 7 Ogos lalu, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyertai perhimpunan itu.

Acryl Sani menegaskan pihaknya tidak akan bertolak ansur dengan pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai perhimpunan itu.

Pada 31 Julai, SSR menganjurkan perhimpunan Keluar dan Lawan di Kuala Lumpur dan, lima aktivisnya disiasat polis.

Dalam protes lebih sejam di sekitar Stesen LRT Masjid Jamek mereka mendesak Muhyiddin letak jawatan perdana menteri atas alasan gagal menguruskan pandemik Covid-19.

Kelima-lima aktivis yang ditahan, Mohamad Al Shatri Abdullah, Mohammad Asraf, Tharmelinggem Pillai, Qyira Yusri dan Sevan Doraisamy disiasat polis Dang Wangi. 

Pada 31 Julai itu, protes lebih sejam di sekitar Stesen Masjid Jamek itu berjaya menghimpunkan sekitar 2,000 peserta yang berkumpul dengan aman dan mematuhi dua prosedur operasi standard (SOP) utama, iaitu mengenakan pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal.

Antara desakan peserta perhimpunan adalah untuk Muhyiddin Yassin meletak jawatan Perdana Menteri.

Walaupun mengamalkan dua SOP berkenaan, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Zainal Abdullah berkata, penganjur perhimpunan akan dipanggil kerana melanggar peraturan ditetapkan, mengikut Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021. – 17 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen