Sekretariat Solidariti Rakyat nafi dakwaan bermotif politik


Raevathi Supramaniam

Penunjuk perasaan ketika protes pada 31 Julai lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Ogos, 2021.

SEKRETARIAT Solidariti Rakyat (SSR) bukan gerakan politik tetapi kumpulan yang menuntut kerajaan mengembalikan demokrasi ketika ketidakstabilan politik, kata jurucakapnya Mohd Asraf Sharafi Mohd Azhar.

Asraf berkata mereka hanya menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia, ahli politik dan parti politik, iaitu meminta Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengundurkan diri agar Parlimen bersidang dan moratorium pinjaman automatik bagi meringankan kesulitan ekonomi yang disebabkan pandemik Covid-19.

Selepas mengadakan tiga tunjuk perasaan, dalam talian dan jalanan, kumpulan itu kini bersiap sedia untuk mengadakan protes lebih besar yang akan diadakan pada 21 Ogos walaupun diberi amaran oleh pihak polis agar tidak meneruskannya.

“Permintaan kami dianggap berunsur politik kerana kita hidup dalam lingkungan politik yang tidak stabil dengan kerajaan lebih mementingkan untuk mengekalkan kuasa berbanding pemerintahan yang baik,” kata Asraf kepada The Malaysian Insight.

“Parlimen perlu dibuka semula dengan betul bagi memulihkan demokrasi dan membenarkan ahli Parlimen menentukan tindakan selanjutnya.

“Kesahan kerajaan perlu harus diuji di Parlimen, dan bukan dengan akuan bersumpah rahsia.”

SSR setakat ini bertanggung jawab terhadap tiga tunjuk perasaan - protes #BenderaHitam di media sosial pada 3 Julai yang menggesa rakyat Malaysia mengibarkan bendera hitam untuk menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap kerajaan.

Ini diikuti tunjuk perasaan lebih kecil di Dataran Merdeka pada 17 Julai dan konvoi bendera hitam pada 31 Julai.

Kepada pengkritik menyifatkan SSR sebagai “tidak matang” yang hanya melibatkan mereka dalam “Bangsar bubble”, Asraf berkata kumpulan itu sudah menjelaskan agendanya dan jika bukan disebabkan sekatan pergerakan, protes itu akan menyaksikan jumlah lebih besar daripada pelbagai peringkat masyarakat.

“Pergelutan rakyat meresap di setiap peringkat, dilihat daripada penyertaan Bendera Putih dan Bendera Hitam dalam talian.

“Protes #KeluarDanLawan difokuskan di KL kerana sekatan sempadan dan Covid-19. Kami percaya jika dapat menggerakkan 2,000 orang dengan segala sekatan ini, kami pasti boleh melibatkan lebih ramai,” katanya, sambil menambah rakyat di seluruh negara juga boleh mengambil bahagian dalam protes konvoi. 

Protes mega

Pada hujung minggu, SSR mengumumkan tunjuk perasaan jauh lebih besar akan diadakan pada 21 Ogos jika Muhyiddin tidak mengundurkan diri.

Perdana menteri berada di bawah tekanan untuk mengundurkan diri susulan dakwaan beliau tidak lagi mempunyai majoriti di Parlimen.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengumumkan undi percaya akan dilakukan pada September untuk membuktikan beliau masih mendapat sokongan majoriti.

“Kami menjangkakan jumlah undian lebih tinggi daripada sebelumnya. Kemarahan dan kekecewaan rakyat akan menjadi tindakan, dan kami ingin memberi mereka ruang untuk bertindak balas.

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan pelbagai komuniti dan kumpulan masyarakat sivil bagi melibatkan penyertaan lebih meluas.” – 9 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen