SEORANG ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan seorang lagi individu yang mengambil bahagian dalam acara nyalaan lilin bagi mangsa Covid-19 minggu lalu meminta dibicarakan di mahkamah majistret kerana berkelakuan tidak senonoh di sebuah balai polis.
Setiausaha Wanita DAP Selangor, Nalina Nair didakwa bersama Sujatra Jayarah di bawah Seksyen 90 Akta Polis kerana melakukan kesalahan itu di balai polis Dang Wangi pada 19 Ogos.
Pengakuan tidak bersalah Nalina direkodkan di depan Majistret Tawfiq Affandy Chin, sementara pengakuan Sujatra direkodkan di depan Hakim Wong Chai Sia.
Tawfiq membenarkan Nalina membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan Wong menetapkan jaminan RM2,000 dengan penjamin bagi Sujatra.
Jika disabit kesalahan, Nalina dan Sujatra boleh dikenakan denda maksimum RM500 atau penjara selama enam bulan.
Mahkamah menetapkan 1 Oktober untuk sebutan semula kes.
Kedua-duanya adalah antara 31 individu yang ditahan kerana menyertai himpunan yang diadakan di Dataran Merdeka.
Seramai 31 penunjuk perasaan itu juga didenda RM2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard Covid-19.
Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR), penganjur acara itu, melancarkan pungutan dana bagi membayar denda dan berjaya mengumpulkan sebanyak RM92,800. – 26 Ogos, 2021.
Komen