Pengunduran Azalina peluang untuk reformasi Parlimen, kata Kit Siang


Veteran DAP Lim Kit Siang berkata peletakan jawatan Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat membuka ruang kepada pembangkang mengisi jawatan tersebut, namun reformasi Parlimen oleh Perdana Menteri Ismail Sabri perlu dibuat terlebih dahulu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

PELETAKAN jawatan Azalina Othman Said sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat dilihat dapat membuka jalan kepada Ismail Sabri Yaakob untuk membuat reformasi Parlimen dan institusi, kata Lim Kit Siang hari ini.

Ahli Parlimen veteran DAP itu berkata pengunduran Azalina juga boleh membuka ruang kepada pembangkang mengisi jawatan tersebut.

“Peletakan jawatan oleh Azalina sebagai Timbalan Speaker membuka jalan untuk reformasi Parlimen dengan melantik seorang Timbalan Speaker daripada kalangan ahli-ahli pembangkang.

“Namun, perkara ini mestilah menjadi sebahagian daripada reformasi Parlimen dan institusi yang memerlukan komitmen pelaksanaan daripada perdana menteri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Azalina mengumumkan peletakan jawatannya, dengan berkata beliau berharap dapat beri peluang kepada kerajaan dan pembangkang “tetapkan semula” atau reset sidang Dewan Rakyat pada September depan.

Lim, yang juga ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, sebagai perdana menteri baharu, Ismail Sabri perlu menempuhi cabaran menyelesaikan dahulu krisis politik dan kesihatan yang menimpa negara.

Bagi menangani pandemik, Lim berkata Ismail Sabri perlu terbuka menerima kritikan dan cadangan oleh kumpulan perubatan supaya vaksinasi dipercepat selain perlu membuat dasar baharu kekang kematian Covid-19, sekali gus melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat.

Berkaitan krisis politik pula, Lim berkata, Malaysia perlu kembali kepada prinsip pembinaan negara bangsa yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara merangkumi sistem raja berperlembagaan berteraskan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, dan penghormatan kepada hak asasi manusia.  – 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen