Azalina letak jawatan timbalan speaker Dewan Rakyat


Aahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said hari ini mengesahkan beliau meletak jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2021.

AHLI Parlimen Pengerang Azalina Othman Said mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat.

Peletakan jawatannya itu diharap akan membolehkan fungsi Dewan Rakyat “ditetapkan semula” atau reset, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ini akan memberi kerajaan dan pembangkang lebih banyak ruang untuk ‘menetapkan semula’ Dewan Rakyat kita supaya Dewan ini dapat benar-benar berfungsi sebagai forum persaingan yang profesional dan kerjasama antara parti mengenai dasar dan urus tadbir.

“Saya akan menyokong sebarang pembaharuan yang mungkin ingin dilakukan oleh kerajaan dan pembangkang mengikut kebijaksanaan mereka,” katanya.

Terdahulu, The Star memetik sumber melaporkan Azalina meletak jawatan hari ini, ketika timbul desas-desus beliau akan dilantik sebagai menteri Kabinet Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau sebelum ini pernah menjadi menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parlimen) semasa pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak dan sebagai menteri belia dan sukan dalam Kabinet Abdullah Ahmad Badawi.

Awal hari ini,  Ismail Sabri berkata senarai anggota Kabinet baharu akan diumum dalam minggu ini selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Azalina antara 15 ahli Parlimen Umno yang menarik balik sokongan kepada Muhyiddin Yassin yang membawa kepada peletakan jawatan bekas perdana menteri itu pada minggu lalu. – 23 Ogos, 2021. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen