Jawatan TPM wujudkan keseimbangan politik, kata penganalisis


Mohd Farhan Darwis

Jawatan timbalan perdana menteri akan menstabilkan kerajaan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mendapat sokongan rapuh 114 ahli Parlimen, kata penganalisis politik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

JAWATAN timbalan perdana menteri akan mewujudkan keseimbangan politik kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang mendapat sokongan rapuh 114 ahli Parlimen, kata penganalisis politik.

Jawatan itu tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi perlu kerana mampu menstabilkan kedudukan kerajaan, kata pensyarah politik Universiti Malaya Dr Awang Azman Awang Pawi.

“Jawatan timbalan perdana menteri mampu membentuk kerajaan yang stabil sekiranya mereka yang dilantik dapat diterima semua pihak dan dapat menjadi orang tengah kepada sebarang konflik yang berlaku,” katanya.

Beliau percaya kestabilan itu akan ada dengan melantik timbalan perdana menteri dari Bersatu.

Pensyarah politik dari Universiti Utara Malaysia Ahmad Martadha Mohamed sependapat dan mengingatkan, Bersatu juga pernah memberi kerusi timbalan perdana menteri kepada Umno.

Ismail Sabri dilantik timbalan perdana menteri pada 7 Ogos, memegang jawatan itu selama 45 hari sebelum Muhyiddin Yassin letak jawatan selepas hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

“Itu mengukuhkan hubungan antara parti dan menstabilkan kerajaan,” katanya.

Ahmad Martadha juga berpendapat timbalan perdana menteri akan lebih melancarkan pentadbiran kerajaan berbanding menteri kanan yang diamalkan dalam pentadbiran Muhyiddin.

“Kalau sama-sama menteri kanan, kedudukan mereka sama jadi kepatuhan sukar nak dapat.

“Masalah utama sebelum ini ketika Kabinet Muhyiddin ialah tiada koordinasi,” katanya.

Majlis Tertinggi Perikatan Nasional yang bermesyuarat pada Ahad menyerahkan kepada Muhyiddin selaku pengerusi parti untuk merundingkan jawatan timbalan perdana menteri dengan Ismail.

Empat nama pemimpin Bersatu kini disebut antara calon yang sedang dipertimbang untuk dimajukan sebagai timbalan perdana menteri.

Pada masa sama, pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) juga mencadangkan jawatan itu diberikan kepada wakil Sabah atau Sarawak.

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Jemut Masing malah mencadangkan dua timbalan perdana menteri dilantik masing-masing dari Sabah dan Sarawak.

Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Sebastian Ting pula menyarankan jawatan timbalan perdana menteri kedua khusus untuk Sabah dan Sarawak.

Berikut adalah calon-calon timbalan perdana menteri yang sedang diberi perhatian banyak pihak:

Mohamed Azmin Ali (Gombak)

Bekas menteri kanan dalam Kabinet Muhyiddin ini nama yang teratas dalam persaingan, dengan pengalaman hampir empat tahun jadi menteri besar Selangor dan lebih tiga tahun sebagai menteri ekonomi.

Azmin menyertai Bersatu selepas mengetuai kumpulan 10 ahli Parlimen mencatur gerakan politik yang menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari 2020.

Nama Mohamed Azmin Ali teratas dalam persaingan jawatan timbalan perdana menteri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

Imej beliau dalam kalangan rakyat bagaimanapun negatif kerana penglibatannya yang signifikan dalam Langkah Sheraton.

Begitu juga tanggapan umum mengenai keputusannya sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri yang memberi kebenaran operasi kepada sektor perkilangan yang kemudian menyebabkan penularan luar biasa Covid-19.

Azmin bagaimanapun hanya anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang dilantik, yang akan melanggar banyak pemimpin kanan parti sekiranya dilantik timbalan perdana menteri.

Hamzah Zainuddin (Larut)

Lebih tinggi hierarki daripada Azmin dalam parti ialah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainuddin yang juga setiausaha agung Perikatan Nasional.

Bekas menteri dalam negeri ini dianggap ketua blok bekas ahli Parlimen Umno yang keluar parti dan menyertai Bersatu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Hamzah menjadi orang kepercayaan Muhyiddin ketika Bersatu berhadapan krisis besar selepas Langkah Sheraton yang berakhir dengan penyingkiran beberapa pemimpin pengasasnya termasuk bekas pengerusi Dr Mahathir Mohamad.

Hierarki Hamzah Zainuddin lebih tinggi daripada Mohamed Azmin Ali dalam Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

Ahmad Faizal Azumu (Tambun)

Berbanding Azmin dan Hamzah, bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu lebih tinggi lagi hierarkinya dalam parti iaitu timbalan presiden Bersatu merangkap timbalan pengerusi Perikatan Nasional.

Pada awal Ogos, beliau dilantik penasihat khas kepada perdana menteri dan memegang jawatan bertaraf menteri. Jawatannya itu hanya bertahan dua minggu susulan peletakan jawatan Muhyiddin pada 16 Ogos.

Nasib politiknya hampir sama seperti Muhyiddin. Ahmad Faizal letak jawatan menteri besar selepas hilang undi percaya di Dewan Undangan Negeri Perak pada 4 Disember 2020. 

Bekas menteri besar Perak Ahmad Faizal Azumu lebih tinggi lagi hierarkinya dalam Bersatu iaitu timbalan presiden.  Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

Mohd Redzuan Md Yusof (Alor Gajah)

Redzuan adalah ahli MPT Bersatu yang dilantik selepas beliau kalah pemilihan ketua Bahagian Bersatu Masjid Tanah dan kemudian kalah pula merebut salah satu daripada tiga jawatan naib presiden.

Beliau merupakan menteri tugas-tugas khas dalam pentadbiran Muhyiddin.

Mohd Redzuan Md Yusof. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

Alexander Nanta Linggi (Kapit)

Alexander pernah jadi timbalan Ismail Sabri di Kementerian Luar Bandar antara 2015 dan 2018.

Namanya turut disokong oleh PRS, yang juga komponen GPS, yang berharap sejarah dicipta melalui pelantikan seorang Dayak sebagai timbalan perdana menteri.

Alexander adalah menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna dalam Kabinet Muhyiddin.

Alexander Nanta Linggi pernah jadi timbalan Ismail Sabri Yaakob di Kementerian Luar Bandar antara 2015 dan 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2021.

Fadillah Yusof (Petra Jaya)

Fadillah merupakan menteri kanan kerja raya ketika pentadbiran Muhyiddin.

Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu juga pernah disebut mengisi jawatan timbalan perdana menteri ketika Muhyiddin dilantik sebagai perdana menteri.

Fadillah berpengalaman luas dalam Kabinet dan turut menjadi menteri kerja raya ketika pentadbiran Najib Razak pada 2013 hingga 2018. – 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen