Biar Muhyiddin runding jawatan TPM, kata Perikatan


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu berkata, isu jawatan timbalan perdana menteri dan kedudukan anggota Kabinet tidak ditimbulkan dalam mesyuarat hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 22 Ogos, 2021.

PERIKATAN Nasional (PN) menyerahkan kepada Pengerusinya Muhyiddin Yassin untuk merundingkan lantikan jawatan timbalan perdana menteri dengan Ismail Sabri Yaakob, kata gabungan itu.

Timbalan Pengerusi PN Ahmad Faizal Azumu berkata, isu jawatan timbalan perdana menteri dan kedudukan anggota Kabinet tidak ditimbulkan dalam mesyuarat hari ini.

“Kami tak bincang (jawatan timbalan perdana menteri) kita serah kepada pengerusi PN untuk tentukan, dan bincang dengan perdana menteri.

“Pengerusi akan bincang dengan perdana menteri dan saya percaya perdana menteri akan buat keputusan yang betul,” katanya.

Jawatan tersebut kini menjadi rebutan di kalangan 114 lagi ahli Parlimen yang menyokong Ismail.

Sokongan itu melalui 37 dari Umno, GPS (18), Bersatu (31), PAS (18), MCA (2), MIC (1), PBRS (1), PBS (1), STAR (1) dan Bebas (4).

Ahmad Faizal juga berkata, beliau berharap Ismail selaku perdana menteri baharu membentuk pasukan kabinet yang dapat menyelamatkan negara daripada krisis waktu ini.

Ahmad Faizal juga berkata, PN akan memberikan sokongan padu kepada kerajaan pimpinan Ismail Sabri.

PN juga katanya masih menyokong Muhyiddin untuk memimpin gabungan politik tersebut.

“Kita akan bagi sokongan kepada kerajaan yang akan dibentuk Mail Sabri.

“Kita tak bincang kedudukan Kabinet, semua parti dalam komponen PN juga nyatakan sokongan penuh, sokongan padu kepada Muhyiddin.

“Kami akan meneruskan usaha persiap siagakan PN untuk hadapi pilihan raya umum, jentera parti dan kerjasama parti komponen akan diperkukuh,” tambahnya lagi.

Mesyuarat yang dipengerusikan Muhyiddin itu bermula sekitar pukul 10 pagi itu tamat kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Turut dilihat hadir Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda PN yang juga Ketua Pemuda PAS Khairil Nizam Khiruddin dan Ketua Wanita PN Rina Harun. – 22 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen