Wali pedang bertasbih kasih


Mohd Syazreen Abdullah

TIDAK terjangkau dek akal betapa masih ada segelintir manusia moden pada hari ini tergamak merayakan kemenangan keganasan.

Biar apapun bangsa atau agama, andai pemikiran masih ada sejalur keganasan bergayut di benak, ia sama sekali tidak boleh diterima, jauh sekali untuk kompromi. 

Keganasan baik merogol atau membunuh, itu perbuatan kejam lagi jijik. Betapa maruah dan darah manusia itu sakral. Keganasan pula selama-lamanya jenayah kemanusiaan buat manusia.

Dunia perlukan kedamaian, bukan sengketa tanpa batas. Manusia mahu hidup dengan selamat dan harmoni. Anak-anak perlukan keselamatan. Wanita perlukan perlindungan. Warga emas perlukan pembelaan. Tidak mungkin ada manusia yang gembira ditindas, dipijak-pijak.

Bahkan, kita wajib memusuhi malah membenci keganasan. Hanya insan tidak waras akalnya menggemari keganasan. Malah, sampai bila-bila pun keganasan itu sinonim dengan kezaliman dan penindasan.

Justeru, jangan kita sesekali merelakan dunia ini dipimpin manusia yang bersorak-sorai menyambut kemenangan keganasan. Apatah lagi menatang keganasan atas nama agama.

Malangnya, masih ada politikus baik berjubah ataupun bukan memuja-muja keganasan. Tentunya demi menjulang kepentingan politik mereka. Kemanusiaan bukan lagi matlamat. Sebaliknya kekuasaan dihambat - selagi boleh - tanpa mempeduli nyawa rakyat yang terkelek-kelek di hujung tanduk kezaliman dan penindasan yang leluasa.

Tasbih dan pedang

Payah sekali menemukan pemimpin yang jiwanya bulat dengan kemanusiaan. Tegas menolak kezaliman bahkan menghormati musuh-musuh perang. 

Namun, sejarah menyaksikan ada tokoh kemanusiaan muncul di celah-celah pertembungan dua tamadun besar Islam dan Kristian. Namanya, Amir Abdul Kadir bin Muhyiddin al-Hasani, wali legenda Algeria.

Anak muda berusia 24 tahun diamanahkan bapanya untuk menjadi Amirul Mukminin dengan memimpin kaum muslimin memerangi penjajah. Mengikut kisah dalam buku tulisan Ahmad Bouyerdene, tentera Perancis mendarat di Algeria pada 1830.

Bagi menghalang kemaraan tentera itu, Sidi Muhyiddin, bapa Amir Abdul Kadir, menyeru rakyat untuk berjihad. Itulah misi pertama beliau yang kemudian menjulang nama di mata banyak. 

Anak muda yang selama ini ahli zikir, kali ini tindakannya paradoks, beralih memegang pedang dari membilang tasbih. Beliau yang menggeluti tradisi kesufian mencurahkan peranannya ke sisi keduniaan dengan menjadi Amirul Mukminin termasuk memimpin medan perang.

Hasil kerohanian yang luar biasa, beliau mampu merasionalkan tiap langkah dalam peperangan. Tahu membezakan jihad besar dan jihad kecil. Inilah yang selalu disalahfahami kebanyakan politikus hari ini, semata-mata beranggapan jihad besar cuma memerangi musuh Islam. Mereka bertakbir sambil mengganas.

Sebaliknya, Amir Abdul Kadir menyebut tradisi kerohanian Islam ada dua bentuk jihad. Jihad saghir atau jihad kecil menentang musuh luar yang mengancam keutuhan wilayah. Satu lagi, jihad akbar iaitu jihad agung yang berlangsung dalam batin seseorang untuk melawan hawa nafsu dan dorongan kejahatan. Dorongan kejahatan antaranya keganasan. 

Rasulullah SAW pernah disoal berkaitan hal ini. Jawab baginda, bentuk kedua adalah jihad paling penting tetapi payah untuk dilaksanakan. 

Sisi kerohanian inilah dilihat musuh sebagai kekuatan Amir Abdul Kadir. Ini mengubah paradigma mereka terhadap kepimpinan beliau dalam menguruskan peperangan. Kerohanian yang terpancar dalam diri diterjemah ke medan perang dengan penuh sifat manusiawi. 

Tawanan perang

Digeruni tetapi dihormati, Amir Abdul Kadir disanjung atas sikap kemanusiaan yang bukan kepalang. Beliau senantiasa mendahulukan perdamaian. Sehingga detik akhir menjelang perang, beliau masih mencari titik damai termasuk mengirim surat kepada musuh. 

Sikap mendahulukan misi kemanusiaan itu menjadi teladan banyak pihak.Hinggakan ada kalangan penganut Kristian berdoa agar beliau memeluk agama mereka sekali gus menjadi perajurit agama tersebut. 

Kekaguman itu juga diluahkan ramai tokoh Kristian setelah mereka bertemu dan menyaksikan akhlak Amir Abdul Kadir. Paling ketara, layanan beliau kepada tawanan perang. Walau seteruk mana layanan musuh terhadap tawanan Islam, beliau tidak sesekali berganjak dari pendirian kemanusiaan untuk terus berbuat kebaikan. Sentiasa belas terhadap tawanan.

Menurut Alexandre Bellemare, tidak ada seorang pun askar yang jatuh pada tangan masyarakat Arab diberi muka sebelum ini. Jauh sekali dilayan dengan perikemanusiaan. Sebaliknya sejak tahun 1833, Amir Abdul Kadir melindungi tawanan daripada sebarang kegasaran. Bahkan mereka dibebas tanpa pampasan. 

Pada era itu, pancung, pengaiban, penderaan, dan penukaran agama secara paksa sangat-sangat ditakuti askar Perancis andai ditawan. Sebaliknya di tangan Amir Abdul Kadir, itu semua tidak berlaku. Tawanan diladeni dengan keselesaan, keselamatan, makan-minum, malah boleh berhubung dengan keluarga masing-masing. Perbuatan seumpama itu di luar kotak pemimpin Arab ketika itu.

Diceritakan dalam catatan tawanan betapa manusiawinya Amir Abdul Kadir ketika menguruskan mereka termasuk anak-anak kecil dan wanita. Kisah seperti ‘Little Marie’, kanak-kanak perempuan yang menjadi tawanan dilayan seperti kasih seorang bapa.

Anak kecil itu dijaga dan ditidurkan bersama isteri beliau di khemah. Layanan sesempurna itu bukannya ada udang di sebalik batu, umpamanya ajakan menukar agama. Sebaliknya semata-mata persaudaraan manusia dan kemanusiaan.

Amir Abdul Kadir juga manifestasi rentas pertautan antara hubungan Barat dan Timur. Beliau menjadi jambatan dialog kedamaian antara agama khususnya Islam dan Kristian. Kebaikan moral dan kebajikan yang dilakukannya dalam isu tawanan tiada tolok bandingan.

Ketinggian nilai kemanusiaan beliau menjadi anjakan paradigmatik dalam kehidupan beragama. Seharusnya, para politikus yang rakus terhadap kekuasaan hingga merosotnya nilai kemanusiaan – merelakan keganasan demi kemenangan - patut malu dengan kemuliaan pemimpin seperti Amir Abdul Kadir. 

Sikap beliau yang membenci keganasan tidak hadir tanpa iltizam kerohanian. Sikap itu didorong cahaya Quran untuk terus mengangkat kebaikan demi kasih sesama umat manusia dan kedamaian sejagat. 

Insan semulia Amir Abdul Kadir tidak sesekali bergembira dengan keganasan waima saat memburu kemenangan perjuangan. – 23 Ogos, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah, bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan, pengarang buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau kini aktif menulis mengenai isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen