Polis kesan video tular pergaduhan babit pemandu bas, warga asing


POLIS mengesan dua video pergaduhan di dalam sebuah bas kilang dipercayai membabitkan seorang pemandu bas dan seorang warga asing di kawasan perindustrian Senai di Kulai yang tular melalui media sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kulai Superintenden Tok Beng Yeow berkata bagaimanapun, masa dan tarikh kejadian belum dapat dipastikan kerana setakat ini, polis belum menerima sebarang laporan berkaitan video itu.

“Video berkenaan telah ditularkan oleh seorang pemilik akaun Twitter dan ia mendapat perhatian masyarakat umum. Kejadian berkenaan berlaku di hadapan sebuah kilang di kawasan perindustrian ketika waktu pekerja kilang pulang daripada kerja.

“Pergaduhan itu melibatkan seorang pemandu bas lelaki tempatan dan seorang pekerja kilang warga Nepal. Ketika kejadian, warga Nepal terbabit berada dalam keadaan mabuk,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pergaduhan itu disyaki berlaku disebabkan perselisihan faham antara kedua-dua individu. – Bernama, 21 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen