Warga Nigeria hanya tahu dihantar pulang dari peguam, bukan Jabatan Imigresen


Raevathi Supramaniam

Peguamnya Vemal Arasan diberi kebenaran untuk bertemu anak guamnya semalam setelah hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman mengarahkan Jabatan Peguam Negara membenarkannya berjumpa Momoh. – Gambar Low Kar Hui, 17 April, 2021.

SIMON Momoh dari Nigeria yang ditangkap kerana memandu dalam keadaan mabuk dan kini ditahan di depot imigresen Semenyih tidak diberitahu bahawa dia dihantar pulang, dan hanya mendapat tahu tentang hal itu daripada peguamnya semalam, sehari setelah notis dikeluarkan.

Peguamnya Vemal Arasan diberi kebenaran untuk bertemu anak guamnya semalam setelah hakim Mahkamah Tinggi Ab Karim Ab Rahman mengarahkan Jabatan Peguam Negara membenarkannya berjumpa Momoh.

“Saya bertemu dengannya semalam sekitar 3.30 petang. Dia tidak tahu dia dihantar pulang, dia sangka akan dibebaskan.

“Dia diam selama beberapa ketika. Bila dia tahu, dia bertabah dan dia hanya mahu keluarganya tetap bertabah,” kata peguam itu.

Pada awal pagi 15 Mac, Momoh ditangkap dalam sekatan jalan raya di Cheras kerana disyaki memandu secara mabuk yang melanggar Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan itu dan membayar denda RM12,000.

Namun, dia ditahan lagi di bawah Seksyen 35 Akta Imigresen 1959, yang membolehkan pihak berkuasa menahannya selama tempoh tidak melebihi 30 hari. Dia ditahan di pusat tahanan Semenyih sejak sebulan yang lalu.

Pihak berkuasa menyekat Vemal dan Low daripada bertemu Momoh, dengan alasan sekatan Covid-19.

Tetapi ia berubah setelah Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Vemal untuk bertemu dengan anak guamnya.

Mahkamah juga menetapkan Rabu depan untuk perbicaraan penuh mengenai permohonan habeas corpus yang diajukan pada 1 April.

Momoh berkahwin dengan Low Kar Wai dan mempunyai dua anak perempuan. Dia ayah yang tinggal di rumah dan menjaga dua anak perempuannya, Ilahi, lapan, dan Elisha, lima, kerana visa tidak membenarkan dia bekerja di negara ini.

Pada 14 April, Low, menerima emel dari jabatan imigresen, memintanya menyiapkan urusan penerbangan pulang ke Nigeria. Menurut perintah pengusiran, Momoh dianggap pendatang menurut Seksyen 8 (3) (d) (i) (ii) Akta Imigresen.

Dia juga diberitahu Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang Momoh (visa pasangannya), sah hingga 14 Oktober, 2022 dibatalkan.

“Jabatan imigresen memberitahu kami dia dihantar pulang kerana memandu secara mabuk adalah jenayah tegas di negara ini. Tetapi, ada kejadian di mana warga asing disabitkan dengan jenayah yang jauh lebih buruk seperti kesalahan dadah tetapi mereka tidak dihantar pulang.”

Tambahnya, Low selalu menerima panggilan dari jabatan imigresen.

“Mereka memanggilnya (Low) untuk datang sekarang. Hanya untuk membeli tiket kapal terbang (untuknya kembali ke Nigeria). Dia tidak akan (beli tiket penerbangan),” kata Vemal. – 17 April, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen