PROSEDUR cantuman kulit untuk merawat kesan lecur tahap empat yang dialami pemain sayap Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Halim setelah disimbah asid baru-baru ini menunjukkan reaksi positif, lapor Bernama.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Shahril Mokhtar menyifatkan cantuman kulit, yang diimport dari luar negara untuk digunakan untuk prosedur pada Khamis, sebagai serasi.
“Setakat ini, saya lihat keadaan Faisal bertambah baik dengan proses ‘skin allograft’ juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah,” katanya yang melawat pemain berusia 26 tahun itu di hospital semalam.
Pada 5 Mei lalu, Faisal Halim mengalaami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah asid di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.
Pemain yang memenangi anugerah gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.
Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain bolasepak negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.
Serangan ke atas pemain bola sepak negara berterusan apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim diserang dua lelaki bermotosikal yang memecahkan cermin belakang keretanya dengan tukul di Johor Bahru pada Selasa (7 Mei). – 13 Mei, 2024.
Komen