MB Kedah harus masuk kelas Moral


KAMI sedia untuk menaja Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor untuk hadir kelas Moral, untuk mempelajari nilai-nilai murni seperti menghormati orang lain serta untuk tidak menghina sesama manusia. 

Bercakap benar adalah salah satu nilai murni yang akan diajar di kelas moral. Nilai-nilai tersebut adalah asas untuk seorang pemimpin dan belum lambat untuk MB Kedah mempelajarinya. 

Selepas membuat komen mengaitkan kemabukan todi terhadap beberapa orang pemimpin India, MB Kedah kini cuba memutarbelitkan fakta dan dengan angkuhnya menyatakan bahawa mereka yang mengkritiknya perlu masuk ke kelas Bahasa Malaysia. 

Seseorang tidak perlu menjadi pakar Bahasa Malaysia untuk memahami komen dan konteks MB Kedah itu. Sebenarnya, MB Kedah yang mengeluarkan komen seperti orang yang tidak berpelajaran. 

Rakyat Malaysia tidak mungkin melupakan komen MB Kedah tentang ‘penemuan mineral bernilai RM43 trilion di Kedah’ yang baru dikeluarkannya. 

Komen seperti itu menunjukkan yang MB Kedah perlu menghadiri beberapa kelas lain, termasuk kelas Matematik. MB Kedah perlu hadiri kelas-kelas itu, bukan pengkiritiknya. 

Selepas mendapat kritikan yang hebat, MB Kedah kini menyatakan bahawa komennya itu hanyalah bersifat kiasan ataupun metafora menggunakan ungkapan mabuk. ‘Minum hanya sebotol, mabuk dua tiga botol’ adalah ungkapan yang dibuat untuk menghina, bukan kiasan metafora semata-mata. 

Dalam banyak metafora, kenapa memilih metafora ‘mabuk’? Kalau betul hendak gunakan metafora, kenapa tidak gunakan ungkapan ‘khayal seperti meminum air ketum’ pula? Tujuannya adalah untuk menghina masyarakat India.

MB Kedah mahu meneruskan pertikaian ini untuk mewujudkan permusuhan di kalangan masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Kedah. Sebab itulah, MB Kedah sedang menipu, selepas membuat komen yang jelas menghina masyarakat India. 

Ini menunjukkan MB Kedah bukan sahaja tidak berpengetahuan Matematik, tetapi juga tiada nilai-nilai moral dan ketokohan untuk menjadi seorang pemimpin. 

Sanusi haruslah mempertimbangkan untuk masuk kelas Moral, supaya dapat mempelajari bagaimana harus hormat sesama masyarakat Malaysia dan akan juga belajar kepentingan untuk tidak menipu. 

Beliau tidak perlu menggunakan dana kerajaan Negeri untuk memasuki kelas tersebut. Kami akan menaja keseluruhan kos kelas moral yang bakal dihadiri oleh MB Kedah tersebut. 

Dengan tidak mengakui kesalahannya dan terus menerus membuat komen-komen provokatif, MB Kedah jelas ingin memanjangkan isu ini demi meraih publisiti murahan. 

Beliau ingin menonjolkan dirinya segala ‘hero’ yang membuat komen-komen ‘menghentam’ pemimpin-pemimpin lain. Tetapi, beliau belum sedar hasil perbuatan provokasinya itu sedang menyemai permusuhan di antara masyarakat berbilang kaum, agama di Kedah dan merata tempat. 

MB Kedah gagal memahami bahawa seorang pemimpin itu haruslah menyatu-padukan rakyat, bukannya memecahbelahkan mereka. 

Kedah adalah tamadun tertua di rantau ini, dan sangat sedih melihat seorang pemimpin yang bercakap dan bertindak seperti ini menjadi MB di negeri yang penuh bertamadun dan bersejarah ini.

Sehingga ke hari ini, tiada pemimpin kanan PAS ataupun Perikatan Nasional (PN) yang menyelar tindakan MB Kedah yang terus menerus membuat komen-komen dengan nada yang menghina dan provokasi. 

Kegagalan pimpinan PAS-PN untuk berbuat demikian, menunjukkan bahawa mereka pun terlibat sama dalam tindakan MB Kedah yang memecahbelahkan masyarakat di atas nama perkauman dan agama. – 8 Disember, 2020.  

* Satees Muniandy, Adun Bagan Dalam.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen