Ramai kaum Cina di ambang miskin tegar


Asila Jalil Liow Sze Xian

Chong Song Yin, 82, berehat di dalam rumahnya di Jalan Peel, Kuala Lumpur dan pada masa ini tidak dapat bekerja lagi kerana masalah kesihatan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Januari, 2018.

KAUM Cina yang miskin tegar di Kuala Lumpur terpaksa bekerja keras untuk meneruskan kehidupan di ibu kota, dengan mengharungi pelbagai kisah duka kehidupan, di tengah-tengah persepsi popular bahawa mereka kumpulan etnik paling kaya di negara ini.

Sementara kemiskinan mutlak untuk kaum Cina hampir tiada pada 0.1%, masih ramai yang terdedah di ambang kemiskinan dan berpendapatan di bawah gaji bulanan minimum.

The Malaysian Insight baru-baru ini ke kawasan bandar sekitar Jalan Peel dan Pudu, dan melihat bagaimana mereka yang berpendapatan kurang RM1,000 sebulan menjalani kehidupan, dengan menjual makanan atau mengutip sampah untuk dikitar semula.

Pasangan warga emas Chong Song Yin dan isterinya Chong Yuen Ken tinggal menumpang di sebuah pondok di Jalan Peel, Cheras, sejak 60 tahun lalu.

Walaupun ia struktur dibina secara haram, mereka dapat bekalan air dan elektrik. Mereka cuba membayar bekalan itu daripada jumlah RM400 sebulan yang diberikan oleh anak perempuan mereka.

Mereka berkata jumlah itu tidak mencukupi kerana selain bil utiliti mereka juga perlu membayar kos perubatan.

“Kami terlalu tua untuk bekerja dan terpaksa bergantung pada anak untuk mendapatkan duit poket. Saya rasa sedih kerana terpaksa membebankan dia.

“Dan kalau kami diberi RM300 atau RM400 sebulan, ia masih tidak mencukupi. Barang di Kuala Lumpur ini mahal dan ini bukan luar bandar,” kata Chong, 82.

Chong Song Yin (kanan) bersama isterinya Chong Yuen Ken di rumah mereka di Jalan Peel, Kuala Lumpur dan terpaksa bergantung hidup dengan bantuan anak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Januari, 2018.

Dia dan isterinya yang berusia 73 tahun sebelum ini berniaga di gerai tepi jalan menjual mi dan nasi lemak.

Tetapi pembangunan Sunway Velocity Mall menyebabkan perniagaan kecil mereka terhenti. Pihak berkuasa mengarahkan mereka berhenti jual makanan di tepi pusat beli-belah tujuh tingkat di Cheras yang dibuka pada Disember 2016.

“Jadi kami tidak bekerja. Ia sangat sukar, saya ada penyakit jantung dan isteri saya tidak boleh berjalan jauh kerana masalah kesihatannya,” katanya.

Sebuah NGO sering melawat mereka sebelum ini dan memberi bantuan tetapi Chong berkata sudah lama organisasi itu tidak datang sejak kunjungan terakhir.

Tang Poh Mei, 43, yang juga menetap di kawasan setinggan di Jalan Peel berkata pendapatan bulanannya sejak akhir-akhir ini mencecah RM1,500 kerana sambutan Tahun Baru Cina semakin hampir. Dia menjual biskut dan kuih chang.

Katanya, pendapatan bulanannya sepanjang tahun kurang daripada jumlah itu, dan terpaksa menanggung lima orang termasuk dua anaknya yang masih kecil, suami dan ibu mentua.

Suaminya bekerja sebagai penyelenggara bebas dan pendapatannya tidak stabil.

“Perbelanjaan bulanan kami tidak begitu tinggi, kerana keluarga saya makan ringkas saja. Sup, telur dan itu saja,” katanya.

Tang berkata kebimbangannya ialah tindakan kerajaan untuk memindahkan keluarganya ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Puchong kerana dia terpaksa mengeluarkan belanja lebih untuk pengangkutan anak ke sekolah dan yuran.

“Saya harap dapat tinggal di sini (Jalan Peel) sampai bila-bila. Dua anak saya belajar di tadika kerajaan berhampiran rumah dan saya boleh hantar mereka dengan berjalan kaki.

“Rumah saya akan banjir bila hujan lebat, tetapi saya suka tinggal di sini kerana mudah untuk kami.

“Tetapi jika pindah ke Puchong, bil air dan api serta sewa akan naik. Kami terpaksa bayar lebih dan kami tidak mampu,” kata Tang.

Tang Poh Mei memasak kuih di rumahnya di Jalan Peel, Kuala Lumpur untuk dijual dan dapat pendapatan RM1,500 pada musim Tahun Baru China. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 20 Januari, 2018.

The Malaysian Insight baru-baru ini melaporkan penghuni rumah setinggan yang dipindahkan ke rumah pangsa kos rendah tidak semestinya berjaya meningkatkan kualiti hidup selepas tinggal di rumah “sebenar” kerana kos lebih tinggi dan kurang ruang untuk bercucuk tanam.

Menambah kebimbangan Tang ialah bil perubatan untuk ibu mentuanya yang berusia 89 tahun, yang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur.

Seorang lagi penduduk, Chong Yew Shen memperoleh pendapatan RM900 sebulan, hasil mengutip sampah untuk kitar semula.

Dia membayar RM150 untuk sewa rumah yang didiami sendirian sejak tujuh tahun lalu.

“Saya tidak sekolah dan sangat susah untuk dapat kerja.

“Rumah saya banjir bila hujan. Saya memang berasal dari Kuala Lumpur tetapi saya tidak ada keluarga, saya tidak tahu mereka di mana.”

Chong pernah memohon untuk mendapatkan BR1M tetapi ditolak.

Majoriti kaum Cina kerja makan gaji

The Edge bulan lalu melaporkan bahawa jurang pendapatan antara kaum paling tinggi dalam kalangan Cina berbanding India dan Bumiputera.

Ketua ekonomi DM Analytics Dr Muhammed Abdul Khalid juga memberitahu The Malaysian Insight bahawa 70% kaum Cina bekerja makan gaji, menolak tanggapan bahawa majoriti kaum itu kaya.

Jumlah itu tidak banyak berbeza daripada kaum Bumiputera yang makan gaji (72%) dan India (83%). Tambahan pula, separuh daripada kaum Cina yang bekerja, mendapat pendapatan kurang RM2,350.

Warga emas yang ditemui di kawasan bandar memperoleh pendapatan kurang daripada itu, contohnya Chong Sui Lin, 77, menetap di Pudu, yang bergantung sepenuhnya kepada BR1M dan ihsan teman serumahnya serta tuan rumah.

Dia mengenali keluarga tuan rumahnya sejak berusia 17 tahun, ketika dibawa masuk ke dalam keluarga itu sebagai pembantu. Sekarang, dia menjaga tiga penyewa, semuanya perempuan, dan bertugas sebagai penjaga rumah.

“Saya bekerja sebagai ‘kakak’ untuk mereka. Saya masak dan membasuh. Tetapi sekarang saya sudah tua dan masih bujang. Saya tidak ada pilihan kecuali terus tinggal di sini,” katanya ketika ditemui di Jalan Chin Chin.

Sui Lin bekerja di rumah yang sama sejak 60 tahun lalu dan pada masa ini bergantung hidup dengan anak lelaki tuan rumahnya yang dijaganya dari kecil dulu.

Ada masanya dia hanya makan semangkuk sup sehari. Jika dia memerlukan lebih daripada RM300 yang diperoleh dari BR1M, dia akan kutip dan jual barang yang boleh dikitar semula.

Berhampiran Bank Negara, seorang peniaga warung, Lim Hai Sheng sering menunggu makanan yang diedarkan oleh dapur jalanan.

Lim, 39, memperoleh pendapatan RM2,000 sebulan hasil jualan warungnya di Jalan Petaling tetapi itu tidak mencukupi kerana terpaksa membayar RM800 hingga RM1,000 untuk sewa rumah.

“Sewa sangat mahal dan tuan rumah masih membahagikan ruang menjadi beberapa bilik lagi dan sewakan kepada pekerja asing.

“Ada kira-kira 20 orang dalam satu bilik dan saya tidak tahan untuk tinggal dengan mereka. Saya lebih rela tinggal di jalanan,” kata Lim dari Johor, yang kini hidup gelandangan. – 20 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen