Tawaran Muhyiddin tak sempat bernyawa


Jahabar Sadiq

Hampir 12,000 orang meninggal dunia akibat Covid-19 dan suku juta kes aktif nampaknya bukan isu penting bagi kerajaan PN yang lebih bimbang hilang kuasa. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Ogos, 2021.  

SEMBILAN puluh enam orang disahkan mati sebaik tiba di hospital semalam akibat Covid-19. Jumlahnya 93 nyawa pada hari sebelumnya.

Namun ia bukan perkara paling penting di fikiran pemimpin kerajaan Perikatan Nasional yang berdiri di belakang Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Begitu juga dengan angka hampir 12,000 yang maut dan suku juta kes aktif.

Mereka lebih bimbang dengan ketiadaan majoriti menjelang undi percaya 7 September ekoran tindakan sekumpulan ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan ke atas perdana menteri itu.

Sebab itulah mereka nampak kesal apabila Muhyiddin membacakan tujuh tawaran dalam ucapan sepanjang 20 minit yang disiarkan langsung di saluran nasional.

Ada yang menganggap tawaran tersebut pintar kerana tiada ahli Parlimen yang menguasai majoriti atau dapat menawarkan siri reformasi bagi mendapatkan sokongan di Parlimen.

Kecuali Pakatan Harapan yang mengikrar reformasi sama tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana dibuang Muhyidding pada Februari tahun lalu untuk bekerjasama dengan “kleptokrat”.

“Kleptokrat” itu jugalah yang kini enggan bersahabat dengannya.

Tawaran perdana menteri itu boleh dikatakan dibuat dengan amat tidak malu dan juga memalukan.

Di sini kita lihat orang yang hilang sokongan majoriti tetapi berjanji untuk bertolak ansur jika mendapat sokongan.

Beliau berdiri dan mengakui kehilangan sokongan dalam undi percaya itu bermaksud beliau dan menterinya perlu berundur, dan akan menamatkan usaha kerajaan menangani pandemik.

Inilah orang yang mengkhianati gabungan parti yang memerintah untuk bekerjasama dengan musuh dan kini mahu kembali meraih sokongan dari orang yang dibuangnya untuk kembali berkuasa.

Inilah orang yang mahu mengekalkan kuasa setara dengan kerajaan lalu walaupun prestasinya amat buruk dalam menangani peningkatan kes, kematian dan kehilangan kerja akibat pandemik.

Mungkin inilah cara ahli politik yang berasa mereka mampu buat lebih baik berbanding orang lain walau dengan rekod yang buruk.

Nyatalah, ada ahli politik yang benar-benar berpendapat tawaran yang dibuat PM itu wajar diambil kira.

Tapi realitinya, tawaran itu tidak sempat bernyawa kerana tiada sesiapa pun yang dapat melaksana reformasi tersebut seperti tempoh jawatan dan usia mengundi.

Dan itu bukan isunya hari ini.

Isunya pandemik ditangani dengan amat buruk, walaupun jumlah pelalian meningkat dan kemasukan ke hospital turun.

Isunya kematian yang tinggi, tiada usaha yang jelas untuk membuka semula negara dan mendidik anak-anak selepas kawalan pergerakan dilaksana sebegitu lama.

Isunya soal kepemimpinan dan pengurusan serta kewangan negara.

Perdana menteri boleh dipuji kerana handal dan berani membuat tawaran sebegitu sewaktu hampir tewas.

Realitinya beliau berpeluang melaksana perkara yang betul dalam masa 17 bulan lalu tetapi tidak banyak yang dilakukannya selain membentuk sebegitu ramai ahli Kabinet dan melantik lebih ramai lagi apabila hampir kehilangan sokongan.

Apa yang perlu dilakukannya sekarang, bentangkan reformasi itu segera dan hadapi undi percaya, dan hormatilah keputusannya. – 14 Ogos, 2021. 

* Jahabar Sadiq pengendali The Malaysian Insight. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen