Beberapa fakta menarik di sebalik sidang media pengerusi Felda


“SAYA tunjuk dulu semua dokumen ini pada semua, kalau tidak nanti ada yang tak percaya pula.”

Begitulah cara Shahrir Samad, pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) memulakan sidang media “Perkembangan Terbaru Berkaitan Tanah Felda di Jalan Semarak” pada 15 Januari lalu.

Berbanding cara konvensional sesebuah sidang media yang dimulakan dengan ucapan, beliau terus “lompat” kepada isi utama hari itu iaitu pemulangan semula tanah milik Felda yang dipindah milik melalui beberapa transaksi meragukan.

Wajahnya yang tersenyum sepanjang majlis berlangsung sudah cukup untuk menggambarkan kepuasan melihat kontroversi terbesar organisasi itu dapat diselesaikan dalam masa satu tahun sembilan hari selepas mengambil alih jawatan pengerusi daripada Isa Samad.

Dalam tempoh sama, beliau turut mengambil beberapa tindakan lain demi mengukuhkan Felda seperti menyusun semula barisan pengurusan, penstrukturan semula aset serta mengukuhkan kedudukan kewangan organisasi itu.

Antara tindakan drastik yang diambil ialah mengarahkan peletakan jawatan semua ahli lembaga pengarah Felda Investment Corporation (FIC) pada Januari serta penjualan aset seperti kereta mewah dan hotel Grand Plaza Service Apartment di London.

Dua aset milik FIC di London dan Kuching juga sedang disiasat SPRM atas dakwaan pembelian pada kadar jauh lebih tinggi daripada kadar pasaran yang mengakibatkan kerugian kepada anak syarikat Felda itu.

Bagi Shahrir, sasaran beliau untuk tahun pertama menjalankan tugas sudah pun berada di landasan yang tepat.

Sidang media yang dianggap paling panas dalam sejarah penubuhan Felda sepanjang penubuhannya 62 tahun lalu dibuat tidak sampai tiga jam selepas pihak Synergy Promenade Sdn. Bhd (SPSB) menandatangani dokumen penyerahan semula tanah Felda di Jalan Semarak.

Dengan gaya beliau yang bersahaja, ahli Parlimen Johor Bahru ini mengemudi sesi yang berlangsung di Menara Felda dihadiri puluhan wartawan mewakili akhbar, portal berita, stesen TV dan radio baik daripada yang pro kerajaan mahupun pro pembangkang.

Shahrir turut menggunakan perkataan “let’s start the magic” untuk memulakan sesi tayangan gambar dokumen yang ditandatangani kedua-dua pihak. Penulis melihat ia sebagai satu penggunaan perkataan yang “makan dalam” kerana ia ibarat memberi gambaran keseluruhan kemelut ini.

Jika diamati betul-betul, setiap rentetan melibatkan isu ibarat satu pertunjukan magis. “Persembahan” pertama adalah bagaimana beberapa keping tanah milik negara (melalui Felda) boleh dipindah milik dengan sebegitu mudah.

Shahrir sendiri beberapa kali meluahkan kekecewaan beliau kerana sewaktu Felda berniat mahu meletakkan kaveat persendirian ke atas tanah, ia tidak mendapat kelulusan daripada Jabatan Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan sehingga beliau perlu memohon campur tangan Ketua Setiausaha Negara Ali Hamsa barulah ia berjaya dilakukan.

Satu lagi “silap mata” adalah pemberian status wakil penuh (PA) yang dibuat tanpa dilaporkan kepada lembaga pengarah.

Mengikut rekod, PA itu dianugerahkan pada 3 Jun 2014 dan hanya dilaporkan kepada lembaga pengarah pada 2 September tahun yang sama.

Magika yang paling agung adalah bila PA melaksanakan beberapa transaksi jual beli tanah dan melalui transaksi inilah pemindahan hak milik tanah dipindahkan menjadi hak milik SPSB.

Menurut Shahrir, ini hal paling aneh ialah penjual (atas kapasiti sebagai PA) adalah SPSB dan yang membeli juga adalah SPSB. Kerana itulah penulis meletakkan transaksi ini sebagai silap mata terbesar atas semua silap mata yang berlaku.

Maka apa cara terbaik untuk melawan magis? Caranya adalah mendedahkan helah sang ahli silap mata.

Bila orang ramai sudah dapat tahu helah si ahli silap mata, secara automatik dia tidak lagi akan dipanggil ahli silap mata.

Orang ini pasti tidak akan selamanya mahu dikecam masyarakat. Justeru dia pasti mahu membersihkan namanya dengan apa sahaja cara yang terdaya.

Bila hal ini berlaku, persepsi lain pula akan timbul. Sebahagian masyarakat akan percaya ini benar-benar pertarungan menegakkan kebenaran manakala sebahagian lagi akan melihat ia hanyalah sebagai lakonan pentas yang siap dirangka skrip dan jalan ceritanya.

Shahrir sedar hal ini. Kerana itulah bagi beliau, persepsi negatif bukanlah hal yang akan diendah kerana beliau ada tanggung jawab yang lebih besar untuk memastikan hak Felda terpelihara.

Boleh dikatakan sesuatu yang agak pelik dalam sesebuah sidang media apabila inti dokumen yang ditandatangani dipaparkan kepada warga media tanpa sebarang tapisan.

Namun bagi Shahrir ini sesuatu yang amat penting untuk dilakukan. Beliau mahu rakyat percaya bahawa situasi ini satu perkara yang serius dan ia benar-benar berlaku demi kepentingan negara.

Bukan setakat menunjukkan isi dokumen, Shahrir turut menggunakan peluang ini untuk mengulas butiran dokumen itu.

Bahkan beliau turut menunjukkan persetujuan dua ahli lembaga pengarah SPSB lengkap dengan tandatangan mereka yang beliau sifatkan sebagai “sangat penting” untuk memastikan proses pemindahan semula pemilikan tanah berjalan lancar.

“Kalau ikutkan saya nak tunjuk (dokumen) yang ‘original’ tapi kita lepas tanda tangan cepat-cepat hantar ke peguam,” jelas beliau.

Bagaimanapun, apabila cuba diperangkap dengan soalan “siapa pemilik SPSB?” pantas beliau menjawab: “Saya tidak tahu siapa pemilik sebenar tetapi ahli lembaga pengarahnya adalah seperti dalam dokumen itu, yang dua orang itu.”

Jika ada yang fikir sidang media yang diadakan itu satu bentuk “tutup buku”, sebenarnya kisah ini belum selesai.

Di pihak Felda, laporan polis tidak akan ditarik balik serta audit forensik yang sedang dijalankan akan diteruskan seperti biasa.

Apa yang penting, Felda mahu tangani isu ini dengan telus. Shahrir sendiri tidak mengelak sebarang soalan yang dikemukakan wartawan sepanjang berlangsungnya sidang media.

“I could just issue a press statement and walk away, you know,” jawab Shahrir bila ditanyakan sejauh mana Felda telus menangani isu ini.

Sebaliknya dapat dilihat sejak mula isu tanah Jalan Semarak dibangkitkan, pihak Felda dan Shahrir sendiri tidak pernah lokek masa mahupun tenaga menjawab segala persoalan yang dibangkitkan baik melalui sidang-sidang media mahupun soalan secara bertulis.

“Transparency is now…saya jamin integriti di Felda akan jadi budaya Felda. Tidak akan ada isu yang disapu ke bawah meja,” ulas Shahrir lagi.

Bagi beliau, Felda kini mahu “balik ke asal”. Beliau mahu muafakat peneroka kembali utuh, dan para peneroka bersama Felda terutamanya dalam aktiviti penghasilan.

“Bersama Felda” diertikan Shahrir sebagai kesudian seseorang peneroka menjual hasil kepada Felda tidak kiralah sama ada penanaman dibuat menggunakan modal sendiri mahupun modal yang dipinjam daripada lembaga.

Dalam pertemuan khusus penulis dengan Shahrir pada Disember lalu, beliau ada menyebut aspirasi beliau menjadikan lebih ramai peneroka yang menanam menggunakan modal sendiri tanpa perlu berhutang dengan Felda untuk mendapatkan modal usaha tanah.

“Kita mahu lahirkan lebih ramai peneroka bebas hutang. Sekarang baru ada dalam 9,000 daripada lebih 100,000 peneroka. Jumlah ini kita perlu tingkatkan,” katanya.

Bagaimanakah aspirasi ini akan dapat direalisasikan? Sama-sama kita nantikan gerak kerja Felda yang seterusnya. – Bernama, 19 Januari, 2018.

* Ali Imran ialah wartawan Bernama.

* Ini adalah pendapat penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • alhamdulillah Felda kembali kepada landasan yg betul dibawah pentadbiran shahrir..semoga ianya terus menjadi lebih baik lagi..

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Amer Farid · Ulasan

  • ..wayang kulit ni, kecuali cuma yang bodoh boleh percaya!!

    Dimuat naik 3 tahun yang lalu oleh Orenji Lingo · Ulasan