Pegawai khas timbalan menteri meninggal dunia Covid-19


Ravin Palanisamy

Berita kematian Jaimin Samitah dihebahkan oleh saluran berita rasmi Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star). – Gambar Facebook, 10 Ogos 2021.

JAIMIN Samitah, pegawai tugas-tugas khas kepada Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Guandee Kohoi, meninggal dunia semalam selepas dijangkiti Covid-19 dipercayai semasa mesyuarat khas Dewan Rakyat bulan lalu.

Beliau yang meninggal dunia di Kuala Lumpur kira-kira 4 petang semalam dan difahamkan dikebumi di Cyberjaya.

Berita kematiannya dihebahkan oleh saluran berita rasmi Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star).

Jaimin yang juga ahli Majlis Tertinggi Star merupakan penyelaras Parlimen Ranau.

Presiden UPKO Wilfred Madius Tangau juga memaklumkan berita itu selepas mengesahkannya dengan adik Jaimin. Semasa hayatnya, Jaimin pernah menjadi timbalan Madius di pejabat Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah.

Sementara itu, setiausaha sulit kanan Guandee dilapor mengesahkan Jaimin bertugas di Parlimen semasa mesyuarat khas Dewan Rakyat, akhir bulan lepas.

Ardino Idris dipetik Malaysiakini berkata Jaimin pada mulanya disaring negatif selepas ujian calitan yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan di Parlimen pada 29 Julai, hari terakhir sebelum mesyuarat khas ditangguhkan kerana penularan Covid-19.

Jaimin bagaimanapun selepas itu menunjukkan simptom jangkitan dan disahkan positif empat hari kemudian.

Minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan 88 kes jangkitan dikesan daripada saringan awal sebelum dan semasa persidangan mesyuarat khas itu.

Daripada kes itu, enam kes dipercayai melibatkan varian Delta, yang lebih mudah dan lebih cepat merebak. – 10 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen