PBS henti kempen di Tambunan, Bingkor


PBS akan menghentikan kempen di dua kawasan itu dan PN-Star akan mengembeling jentera parti untuk menyokong calon PBS di DUN Bengkoka dan Api-Api. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 September, 2020.

PARTI Bersatu Sabah (PBS) hari ini membuat keputusan untuk memberikan sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN) dari Star di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambunan dan Bingkor bagi mengukuhkan saingan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. 

Setiausaha Agung PN Seri Hamzah Zainudin berkata sehubungan itu PBS akan menghentikan kempen di dua kawasan itu dan PN-Star akan mengembeling jentera parti untuk menyokong calon PBS di DUN Bengkoka dan Api-Api. 

“Menerusi persetujuan ini, tiada lagi pertembungan Star dan PBS di kawasan ini dan ini akan beri lebih peluang kepada calon untuk menang…tiada langsung buat ugutan dengan sukarela mereka lakukan dan ini satu pengorbanan besar. 

“Bila berlaku seperti ini, saya pasti penyokong terima dengan baik, sehingga pengundian nanti kita minta tiada pertembungan PN dan PBS,” katanya pada sidang media di sebuah hotel, di Kota Kinabalu hari ini. 

DUN Tambunan menyaksikan pertembungan enam penjuru dengan PN-Star diwakili Jeffrey Kitingan dan PBS diwakili Silverius Bruno, manakala DUN Bingkor juga melibatkan saingan enam penjuru dengan Robert Tawik calon PN-STAR dan Peter Jino Allion calon PBS.

Calon PBS di DUN Bengkoka dan Api-api masing-masing Samuil Mopun dan Yee Moh Chai.

Selepas penamaan calon pada 12 September lalu, PN dan rakan sekutunya Barisan Nasional (BN) dan PBS bertembung di 17 kerusi DUN. 

Hamzah, yang juga menteri dalam negeri,  berkata pada masa ini rakan sekutu dalam GRS sedang aktif berbincang bagi mengenal pasti kawasan yang boleh dielak pertembungan sesama sendiri. 

“Dalam kita mahu ambil alih kerajaan (negeri Sabah) Warisan kita nak kemenangan besar jadi kita harap tiada pertembungan…kita mahu tunjuk solidariti bagi mengambil semula kerajaan negeri Sabah,” katanya. 

Sementara itu, Presiden Star Jeffrey Kitingan berkata partinya menerima baik kerjasama itu dan usaha positif itu diharap dapat memberikan sebuah kerjasama kukuh bagi menewaskan Warisan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PBS Jahid Jahim berkata beliau dimaklumkan oleh presiden parti Maximus Ongkili supaya mereka menyokong calon PN di Tambunan dan Bingkor serta menghentikan kempen menggunakan lambang parti di kawasan berkenaan. – Bernama, 22 September, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen