Tiada pelancaran Perikatan di Sabah hari ini, kata sumber


Noor Azam Shairi Kamles Kumar

Perbincangan masih berjalan dengan parti-parti tempatan untuk menyertai Perikatan Nasional menjelang pilihan raya negeri Sabah bulan depan, kata sumber parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

PERIKATAN Nasional (PN) tidak akan dilancarkan di Sabah pada hari ini kerana perbincangan masih berjalan dengan parti-parti tempatan untuk menyertainya menjelang pilihan raya negeri bulan depan, kata sumber parti.

The Malaysian Insight difahamkan tiada majlis sedemikian yang diatur dalam lawatan dua hari Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ke Sabah pada hari ini dan esok.

Sumber parti dalam PN memberitahu majlis pelancaran itu pernah dicadang untuk dibuat bersempena lawatan tersebut, tetapi ditangguhkan buat masa ini.

“Tiada pelancaran. Ada perbincangan untuk lancar (di Sabah) tetapi tak jadi,” katanya yang maklum mengenai rundingan pembentukan PN.

Seorang lagi sumber parti turut mengesahkan tiada majlis pelancaran PN diatur di Sabah pada hari ini.

“Masih ada perbincangan dengan parti-parti di Sabah,” katanya.

Kedua-dua sumber bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut perbincangan atau parti politik yang berunding, untuk tidak menjejaskan rundingan.

Sementara itu, sebuah majlis tertutup bersama pemimpin parti politik Sabah yang dirancang petang ini juga tidak diteruskan, kata sumber. 

Jadual pergerakan lawatan Muhyiddin yang dilihat oleh The Malaysian Insight menyenaraikan majlis menandatangani persetujuan penggunaan simbol PN dalam pilihan raya negeri. 

Majlis di sebuah hotel di Kota Kinabalu itu ditanda sebagai “TBC”, yang membawa maksud “menunggu pengesahan”.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan ke Sabah pada hari ini dan esok. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Ogos, 2020.

Dua parti Sabah dalam Perikatan

Awal minggu ini, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Yong Teck Lee mendedahkan partinya sudah menyertai PN.

“SAPP kini bersama Perikatan Nasional di bawah kepimpinan Muhyiddin Yassin. 

“Ada kemungkinan kami akan bertanding dalam pilihan raya negeri bersama Perikatan Nasional sebagai sebuah gabungan,” katanya, dalam wawancara dengan stesen radio BFM pada Isnin.

Semalam, SAPP membuat pengumuman rasmi yang sama dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat majlis tertingginya di Kota Kinabalu.

SAPP adalah bekas parti komponen Barisan Nasional yang keluar dari gabungan itu selepas pilihan raya umum 2008. Ia tidak mempunyai wakil di Dewan Rakyat dan kalah semua tujuh kerusi negeri yang ditandingi dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.

The Malaysian Insight difahamkan selain SAPP setakat ini ada sebuah lagi parti di Sabah yang menyertai PN sebagai antara parti penaja pendaftarannya, iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (Star).

Berdasarkan rekod, parti pimpinan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Jeffrey Kitingan itu adalah juga anggota Gabungan Bersatu Sabah (GBS) bersama Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS). 

Tiga parti itu masing-masing mempunyai seorang wakil di Dewan Rakyat manakala GBS mempunyai keseluruhan lapan wakil rakyat (PBS 4, PBRS 4) di DUN Sabah sebelum pembubarannya pada 30 Julai lalu. 

GBS yang didaftarkan pada Oktober 2018 sebelum ini dilaporkan menunggu kelulusan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Kelmarin, MIC mengumumkan menarik diri daripada menyertai PN dengan alasan Umno dan BN tidak akan menganggotainya. 

PAS sebelum ini mengesahkan menjadi penaja pendaftaran PN, bersama Bersatu.

Muhyiddin yang akan mengetuai PN hari ini berada Kota Kinabalu dan esok akan ke Sandakan.

Beliau yang juga presiden Bersatu memulakan jadual lawatan dengan mendengar taklimat mengenai pilihan raya negeri di ibu pejabat Bersatu Sabah.

Empat program berikut beliau hari ini adalah melibatkan pertemuan dengan penjawat awam persekutuan, anggota Rela serta pemimpin masyarakat dan perniagaan.

Di Sandakan, Muhyiddin juga dijadual mengadakan pertemuan dengan penjawat awam dan pemimpin masyarakat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 September sebagai hari pengundian di Sabah, selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan pada 30 Julai lalu.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 21 Ogos menolak permohonan bekas ketua menteri Musa Aman mencabar pembubaran DUN Sabah.

Beliau merayu ke Mahkamah Rayuan yang akan mendengar kes berkenaan pada 7 September, lima hari sebelum penamaan calon. – 29 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen