MIC tarik diri dari Perikatan Nasional


Setiausaha Agung MIC M Asojan Muniandy berkata ia berikutan Umno dan BN tidak akan bersama dalam gabungan baharu itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Ogos, 2020.

MIC menarik balik keputusan untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana Umno dan Barisan Nasional (BN) tidak akan bersama dalam gabungan baharu itu, kata setiausaha agung parti M Asojan Muniandy.

MIC memaklumkan pendiriannya itu dalam sepucuk surat kepada Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan Masyati Abang Ibrahim minggu ini.

“Oleh kerana Umno tidak berhasrat untuk menyertai Perikatan Nasional pada 29 Julai 2020, maka keputusan Majlis Tertinggi MIC pada 10 Julai 2020 tidak boleh digunapakai dalam penyertaan keanggotaan Perikatan Nasional,” kata Asojan, dalam surat yang turut dilihat oleh The Malaysian Insight.

Beliau juga memberitahu RoS pemimpin MIC tidak boleh dianggap menganggotai jawatankuasa penaja PN “sehingga satu keputusan baru dibuat oleh Majlis Tertinggi MIC.”

Surat itu bertarikh 24 Ogos, sehari selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamid yang juga pengerusi BN mengesahkan MIC adalah antara parti penaja pendaftaran PN.

Surat itu diterima oleh RoS hari ini.

Presiden MIC S Vigneswaran kelmarin berkata MIC bergabung dengan PN atas tanggapan Umno dan BN juga akan berbuat demikian. Katanya, MIC keliru dengan cara Zahid mengendalikan perkara itu dengan parti dalam BN.

Beberapa pemimpin parti mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa surat itu ada dihantar kepada RoS.

Seorang sumber parti memberitahu MIC kecewa dengan sekurang-kurangnya dua keputusan yang masing-masing dibuat oleh PAS dan Bersatu baru-baru ini.

“Di Kedah PAS tidak memperbaharui keanggotaan seorang senator dari MIC. Parti itu (PAS) mahukan jawatan tersebut,” katanya.

Senator Dr S Ananthan mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Negara pada 17 Ogos 2017 untuk tempoh tiga tahun berakhir minggu lalu.

“Pada masa sama Bersatu mahu menarik ahli bukan Melayu menyertai parti. Keputusan itu akan mengikis pengaruh MIC dalam kalangan pengundi India,” tambah sumber.

Setakat ini, Bersatu dan PAS dilaporkan antara dua parti utama yang mengasaskan PN bersama Star dan SAPP dari Sabah.

Beberapa media minggu ini melaporkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin akan melancarkan PN di Sabah sempena lawatannya ke negeri itu hujung minggu ini.

The Malaysian Insight bagaimanapun difahamkan cadangan melancarkan PN di Sabah ada dibincangkan dalam kalangan pimpinan gabungan itu namun tiada keputusan dibuat mengenainya.

PN juga dilapor akan bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah, yang ditetapkan pada 26 September ini, dengan menggunakan logo gabungan itu.– 27 Ogos, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen