MIC antara parti gabungan Perikatan Nasional, kata Zahid


Perikatan Nasional mendapat sokongan beberapa parti termasuk gabungan Barisan Nasional yang dipimpin Zahid Hamidi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 23 Ogos, 2020.

MIC adalah antara empat parti yang membentuk gabungan Perikatan Nasional (PN), kata pengerusi Barisan Nasional Ahmad Zahid Hamidi.

Tiga parti lain ialah Bersatu, PAS, dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star) pimpinan Timbalan Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Jeffrey Kitingan.

“Memang setakat ini maklumat yang saya perolehi, MIC menjadi salah sebuah parti yang turut mendaftarkan PN bersama PAS, Star dan Bersatu.

“Ini tidak menjadi masalah setakat ini kerana PN harus didaftarkan,” katanya, seperti dipetik Bernama.

Pengesahan Ahmad Zahid itu menjadikan setakat ini MIC satu-satunya parti komponen BN yang menyertai PN. Tiga lagi parti lain dalam BN ialah Umno, MIC, dan PBRS.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Umno kekal tidak menyertai PN, malah akan menggunakan lambang BN dalam pilihan raya akan datang.

“Pendirian Umno dan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang, kita tetap guna lambang dacing untuk menjadi simbol kepada calon-calon Umno dan BN,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum ini mengumumkan Umno tidak menyertai PN tetapi menyokong kerajaan yang dibentuk oleh gabungan itu di Putrajaya dan di beberapa negeri.

Awal hari ini, bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali yang semalam disahkan menyertai Bersatu berkata pada masa ini ada lima parti yang didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) sebagai gabungan PN.

Beliau hanya menyebut Bersatu dan PAS tetapi tidak menyatakan tiga parti lain.

The Malaysian Insight difahamkan sebuah lagi parti yang menganggotai PN ialah sebuah parti di Sabah yang pernah menjadi anggota BN.

Rabu lalu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengesahkan parti Islam itu adalah antara parti penaja PN, yang pendaftarannya dikemukakan kepada RoS baru-baru ini.

“PAS ada, Bersatu ada (sertai PN). BN kena tanya BN, saya tidak pasti.

“Jawatankuasa penaja boleh mana-mana pihak, lepas ditubuhkan (PN) ahli lain boleh masuk,” katanya.

The Malaysian Insight difahamkan pendaftaran berkenaan telah diluluskan oleh RoS dan pengumuman mengenainya akan dibuat sebelum akhir bulan ini.

Ketua Pemuda Bersatu yang baru terpilih Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad Kamal baru-baru ini dirakam berkata PN akan bertanding dalam pilihan raya negeri Sabah, yang ditetapkan pada 26 September ini, dan menggunakan logo gabungan itu. – 23 Ogos, 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen