PEMIMPIN Umno Zaharin Mohd Yassin berkata Pengerusi Gerakan Pembela Ummah, Ismail Mina sepatutnya kembali ke sekolah untuk belajar sumbangan golongan bukan Melayu dalam mempertahankan negara.
Zaharin berkata, Ismail juga tersilap kata kerana mendakwa Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi “tergelincir lidah” ketika menafikan kenyataan ulama itu bahawa hanya orang Melayu yang bergadai nyawa untuk Tanah Melayu.
“Saya agak terkejut bila Ismail Mina kata Zahid Hamidi tergelincir lidah. Kepada saya Ismail Mina yang tergelincir lidah dan landasan sejarah Malaysia. Beliau dan anggota NGO kena pergi masuk sekolah sejarah,” kata Zaharin.
Dalam tulisannya di Facebook, Zaharin berkata Ismail perlu menyedari pengorbanan kaum bukan Melayu dalam mempertahankan negara.
“Sejarah membuktikan bahawa bukan sedikit pegawai dan anggota bukan Melayu dalam pasukan keselamatan polis dan tentera terbunuh termasuk anggota SC (konstabel khas), Home Guard kerana mempertahankan Malaysia dari ancaman pengganas Komunis.
“Belum termasuk lagi di zaman Kofrantasi Indonesia terhadap Malaysia,” kata Zaharin dalam tulisannya.
Tambahnya, Ismail juga perlu memahami peristiwa Long March – di mana anggota Parti Komunis Malaya (PKM) termasuk rejimen yang terdiri dari orang Melayu berundur ke selatan Thailand pada tahun 1953.
Pengunduran besar-besaran anggota tentera PKM tersebut merupakan antara peristiwa besar yang membawa kepada pengakhiran pemberontakan komunis di Malaysia.
“Baca sejarah betul-betul. Ingat akan peristiwa Long March di mana melibatkan anggota PKM orang Melayu.
“Beli buku Gerila PKM Abu Samah Kassim akan perjalanan Pasukan Hang Jebat yang berpindah ke selatan Siam,” pesan Zaharin lagi kepada Ismail.
Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi pada hari Selasa lalu dilaporkan menafikan kenyataan Ismail bahawa bahawa hanya orang Melayu yang bergadai nyawa untuk Tanah Melayu.
Zahid dilaporkan portal Malaysiakini sebagai berkata, sejarah mencatatkan sumbangan pelbagai bangsa dalam memerangi Jepun semasa Perang Dunia II dan komunis semasa darurat.
Bagaimanapun Ismail semalam berkata Zahid “tergelincir lidah” dan membuat kenyataan yang silap kerana tidak mendapatkan penjelasan daripanya terlebih dahulu.
Dalam penjelasannya kepada The Malaysian Insight semalam, Ismail berkata kenyataannya berhubung penglibatkan kaum bukan Melayu melawan komunis adalah merujuk kepada episod tertentu beberapa minggu selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua.
Jelasnya, beliau merujuk kepada peristiwa melibatkan tindakan kumpulan Bintang Tiga yang melakukan pembunuhan untuk membalas dendam.
Ismail juga mendakwa, kenyataannya dalam Kovensyen Perpaduan Ummah pada hujung minggu lalu dilaporkan di luar konteks sehingga menyebabkan beliau diselar oleh pelbagai pihak termasuk Persatuan Patriot Kebangsaan dan Persatuan Veteran Cina Tentera Malaysia. – 18 Januari, 2018.
Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan