Pesara tentera Cina selar cubaan seleweng sejarah pertahanan negara


Low Han Shaun Briana Leong

Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia hari ini menyelar cubaan menyeleweng fakta sejarah mengenai penglibatan bukan Melayu dalam pertahanan negara mengatakan Templers'12 perintis tentera Malaysia adalah kumpulan tentera pelbagai kaum pertama negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Januari, 2018.

PESARA tentera berketurunan Cina mengecam penyelewengan fakta sejarah dilakukan sekumpulan ulama pada Konvensyen Kebangkitan Ummah baru-baru ini, mengatakan orang bukan Melayu memainkan peranan penting dalam perjuangan menentang Parti Komunis Malaya (PKM).

Presiden Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia (Macva) Mejar Tan Pau Son berkata Templers’12 adalah perintis Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

“Ada Templers’12 dan antara mereka adalah Jeneral Mejar Lai Chung Wah, Jeneral Mejar Leong Siew Ming, Leftenan Kolonel Khong Kim Kong, Leftenan Kolonel Peter Ng Boon Hwa, General Mejar N. Selvarajah.

“Daripada 12 anggota, tujuh adalah bukan Melayu, enam adalah Cina, mereka adalah kumpulan pertama yang dihantar ke akademi Royal Military di England,” kata Tan pada sidang media di ibu pejabat Macva di Mid Valley City hari ini.

Templers’12 dipilih sendiri oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaya Jeneral Sir Geral Templer pada 27 Julai 1952 bagi membentuk Rejimen Persekutuan yang terdiri daripada pegawai tentera berbilang kaum.

Ahli lain Templers’12 ialah General Brigadier Victor Nelson Stevenson, General Brigadier Asna Mohd Sutan, Kolonel Gui Poh Chui, Leftenan Kolonel Thong Chee Sin, Leftenan Jeneral Abdullah Shamsuddin, Mejar Lakhbir Singh Gill dan Mejar Major Amiruddin Mustapha Albakri.

Semua ahli Templers’12 adalah pesara tentera sekarang.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah Ismail Mina Ahmad pada Ahad lalu semasa Konvensyen Kebangkitan Ummah berkata hanya orang Melayu menentang komunis, British dan Jepun.

Dan kerana itu orang bukan Melayu adalah ancaman kepada pemerintahan politik Melayu Islam, katanya.

Susulan dakwaan itu, Persatuan Patriot Kebangsaan menggesa Putrajaya memberikan maklum balas menolak dakwaan Ismail kerana sejarah membuktikan penglibatan orang bukan Melayu menentang komunis di negara ini wujud.

Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia pada sidang media di ibu pejabatnya di Mid Valley City hari ini. Kumpulan pesara tentera berketurunan Cina itu menafikan dakwaan yang orang bukan Melayu tidak terlibat dalam pertahanan negara mengatakan sejarah membuktikan sebaliknya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 15 Januari, 2018.

Tan mengatakan terdapat enam pesara dalam pengetahuan mereka yang menerima pingat Panglima Gagak Berani (PGB) kerana jasa mereka menentang PKM ketika itu.

“PGB adalah pingat keberanian kedua tertinggi di Malaysia. Ia dianugerahkan kerana keberanian dalam pertempuran,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Anugerah tertinggi adalah Seri Pahlawan Gagah Perkasa menurut senarai pingat Persekutuan.

Enam penerima PGB itu ialah Kolonel Maurice Lam Shye Choon (meninggal), Mejar Lee Ah Pow (bersara), Leftenan Kedua David Fu Chee Ming (bersara), Sarjan Choo Woh Soon (bersara), Sarjan Cheng Eng Chin (meninggal) and Renjer Mat Isa bin Hassan.

“Dakwaan Ismail tidak tepat secara fakta dan sejarah serta memperkecilkan sumbangan veteran bukan Melayu terutama pesara tentera Cina, Iban, Indian, Sikh dan ramai lagi,” kata Tan.

Sementera itu, Ketua Biro Keharmonian Agama MCA Ti Lian Ker dalam kenyataan hari ini mengatakan dakwaan Raof Husin yang Putrajaya hanya perlu memberikan bantuan pendidikan kepada pelajar Bumiputera seperti diperuntukan Perlembagaan adalah salah.

“Perkara 153 bukanlah peruntukan tertutup berniat menindas pihak lain; ia mengatakan kelayakan bantuan khusus diberikan seperti mana perkenan Yang di-Pertuan Agong,” kata Li.

Katanya, Ummah selaku persatuan mewakili banyak organisasi bukan kerajaan Islam sewajarnya menjunjung ajaran dan amalan seorang Islam yang budiman.

Ini boleh dilakukan dengan menjunjung prinsip kebenaran, kesetaraan dan keadilan seperti mana dituntut Islam, katanya.

“Kita orang Malaysia dibesarkan dan diajar untuk menghormati orang lain dan takutkan hukuman Tuhan. Kerana itu kita diajar menyayangi dan berbuat baik antara satu sama lain, terutama kepada mereka yang miskin dan lemah dengan memberikan bantuan apabila diperlukan,” katanya.

Kerana itu, tindakan Raof menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk “menindas atau menghukum orang miskin daripada menerima bantuan kerajaan” adalah salah.

“Perkara ini memperuntukkan bantuan khusus kepada orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dalam biasiswa pendidikan…ia ditentukan oleh Majlis Raja-Raja berasaskan bilangan dan keperluannya.

“Ia bukanlah peruntukan mutlak dan bantuan akan diberikan sekiranya diperlukan,” katanya.

Ti juga menafikan dakwaan Raof yang jumlah profesional Bumiputera masih kecil.

“Itu berlaku pada 1960-an dan 70-an ketika Dasar Ekonomi Baru diperkenalkan untuk mengubah, menstruktur semula dan menyerakkan kekayaan dalam masyarakat.

“Kenyataan Raof menunjukkan dia masih hidup di masa silam. Kita berada pada tahun 2018 dan secara umumnya orang Melayu sudah mencapai banyak kemajuan,” katanya. – 15 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Ularmak cari makan katakan

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan