Komen 'bukan Melayu tak lawan komunis' diambil luar konteks, kata ulama


Muzliza Mustafa

Pengerusi Gabungan Pembela Ummah, Ismail Mina Ahmad menafikan kenyataannya merujuk kepada komunis, sebaliknya kumpulan Bintang Tiga. – Gambar The Malaysian Insight, 17 Januari, 2018.

PENGERUSI Gabungan Pembela Ummah (Ummah) Ismail Mina Ahmad berkata komentarnya mengenai kaum bukan Melayu tidak melawan komunis adalah merujuk kepada episod tertentu beberapa minggu selepas Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua apabila kumpulan Bintang Tiga melakukan pembunuhan untuk membalas dendam.

Ulama berusia 69 tahun itu berkata ucapannya pada “Konvensyen Perpaduan Ummah” pada hujung minggu diambil luar konteks.

Sejak ucapannya pada Ahad itu, beliau diselar oleh pelbagai pihak seperti persatuan bekas tentera, Persatuan Patriot Kebangsaan dan Persatuan Veteran Cina Angkatan Tentera Malaysia yang mengatakan kenyataannya itu sebagai satu penyelewengan sejarah.

Beliau yang mengetuai kira-kira 300 organisasi masyarakat sivil Muslim mengatakan tidak pernah membuat kenyataan yang merujuk kepada komunis.

“Saya bercakap tentang Bintang Tiga. Adalah salah untuk menyamakan mereka dengan komunis kerana Bintang Tiga tidak pernah mengaku ia komunis. Mereka dirujuk sebagai Bintang Tiga berdasarkan simbol pada pakaian seragam dan topi mereka.

“Apa yang saya katakan ialah peristiwa dalam tempoh masa tertentu dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas Jepun dikalahkan. Bintang Tiga menyerang dan membunuh ramai orang Melayu. Pada masa itu, mereka menguasai beberapa daerah,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau menafikan mengatakan hanya orang Melayu yang bertempur melawan Bintang Tiga.

Tetapi berkenaan pembunuhan itu, Ismail berkata fakta dan dokumen yang dbaca menunjukkan tiada bangsa lain yang berjuang bersama orang Melayu selepas Bintang Tiga mensasarkan penduduk Tanah Melayu yang disyaki berkolaborasi atau menjadi pengintip Jepun.

“Semuanya perlu diambil dalam konteks. Saya kata orang Melayu, sebagai peneroka asal Tanah Melayu, juga mempunyai peranan sebagai umat Islam untuk melindungi tanah mereka. Mereka adalah orang-orang yang berperang melawan Siam, Portugis, Jepun, Inggeris dan juga Bintang Tiga,” kata Ismail.

Bintang Tiga terpisah daripada Parti Komunis Malaya (MCP) dan merupakan nama lain bagi Tentera Anti-Jepun Rakyat (MPAJA) Malaya, sebuah kumpulan yang disokong British dan MCP untuk memerangi Jepun pada awal 1940-an.

Selepas Jepun menyerah kalah dan sebelum British kembali pada 1945, MPAJA memburu mereka yang dipercayai bekerjasama dengan Jepun.

Ahli-ahli sejarah yang menulis tentang tempoh itu berkata kolaborasi ini biasanya dilakukan orang Melayu yang bekerja dengan orang Jepun sebagai anggota polis.

Ismail, yang menubuhkan sebuah sekolah tahfiz di Kedah, berkata bersedia disiasat kerana membuat kenyataan yang menyalahi undang-undang.

Aktivis Islam, yang merupakan seorang pemimpin pelajar di universiti ketika belajar dalam jurusan antropologi dan sosiologi di Universiti Malaya, enggan menjawab kenyataan yang dibuat oleh Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Mohamed Arshad Raji, seorang brigadier jeneral bersara, menyalahkannya kerana mneyeleweng sejarah dan menanamkan kebencian di kalangan kaum.

“Beliau merujuk kepada sesuatu yang saya tidak katakan dan beliau (mengulas berdasarkan) maklumat kedua. Beliau sepatutnya merujuk kepada teks saya sebelum menyerang. Saya melakukan penyelidikan dan pemeriksaan fakta sebelum berucap hari itu. Saya berharap beliau akan melakukan perkara yang sama,” kata Ismail.

Arshad juga berkata Putrajaya perlu membetulkan fakta mengenai orang bukan Melayu yang berjuang untuk negara ini dan tidak membiarkan kumpulan Islam tertentu menyeleweng sejarah. – 17 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • What Donald Trump does, these people have been doing a long time..

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Bigjoe Lam · Ulasan

  • Ada baik nya sebelum kita membuat sebarang komen secara terbuka ada baik nya kita merujuk dan menghalusi sejarah. Sekira nya kita tidak tau sejarah jangan lah kita membuat sebarang komen yang akan memecah belah serta kerharmonian kaum di negara ini. Jangan hanya inginkan popularity kerna ia akan memundaratkan negara

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Abdul Rahman Abdul Razak · Ulasan