Jangan biar ulama seleweng sejarah bukan Melayu, kata pesara tentera


Presiden Patriot Kebangsaan, Brigadier Jeneral (B) Mohamed Arshad Raji berkata penglibatan bukan Melayu dalam mempertahankan negara tidak boleh disangkal dan kenyataan Ismail Mina Ahmad semalam adalah seleweng fakta sejarah pasukan keselamatan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

PUTRAJAYA perlu membetulkan tanggapan tentang perjuangan negara melibatkan orang bukan Melayu dan tidak membiarkan kumpulan Islam tertentu menyeleweng sejarah, kata Persatuan Patriot Kebangsaan susulan dakwaan yang dilakukan pada Konvensyen Kebangkitan Ummah semalam.

Konvensyen itu tidak sepatutnya menyeleweng sejarah dengan mendakwa hanya orang Melayu yang berjuang menentang komunis dan musuh negara yang lain, kata Presiden Mohamed Arshad Raji, seorang brigadier jeneral bersara.

Katanya, ucap tama penceramah utama konvensyen itu, Ismail Mina Ahmad yang juga merupakan pengerusi Gerakan Pembela Ummah menggambarkan Mina tidak peduli dan tidak tahu sejarah.

“Menyeleweng sejarah untuk memenuhi matlamat politik pihak tertentu dan mewujudkan kebencian kepada orang bukan Melayu sangat tidak bertanggungjawab,” kata Arshad dalam satu kenyataan hari ini.

Ismail Mina dilaporkan berkata yang hanya orang Melayu berjuang menentang komunis, British dan Jepun. Kerana itu, orang bukan Melayu adalah ancaman kepada pemerintahan politik orang Melayu Islam, katanya lagi.

Menurut Arshad, sangat mengecewakan ulama seperti Mina yang sepatutnya menyebarkan kebijaksanaan, kasih sayang dan pemahaman dalam masyarakat tetapi sebaliknya mewujudkan kebencian antara rakyat.

Sejarah membuktikan yang orang bukan Melayu juga berjuang menentang Parti Komunis Malaya (PKM), melindungi negara ketika konfrontasi Indonesia, menyertai pasukan “Home Guard”, serta terlibat dalam misi keamanan di luar negara, katanya.

Begitu juga bukan semua anggota PKM adalah orang Cina, kata Arshad lagi memberikan misalan ramai pemimpin utamanya adalah orang Melayu seperti Abdullah CD, Rashid Mydin dan Shamsiah Fakeh.

Presiden Patriot itu mengatakan Ismail Mina mungkin “dimanipulasi” pihak tertentu “terutama menjelangnya pilihan raya ketika semua jenis taktik kotor dan keji akan digunakan”.

“Patriot sangat kecewa dengan mereka yang menaja Ummah di forumnya yang dicemari dengan ucapan kebencian dan fakta sejarah yang menyeleweng. Ketika negara kita sedang berdepan dengan banyak ketidakpastian…apa sahaja tindakan yang menyebabkan perpecahan tidak akan memberi manfaat kepada negara dan bangsa,” kata Arshad.

Katanya, menteri pertahanan, menteri keselamatan dalam negeri serta ketua tentera dan polis perlu membetulkan fakta mengenai kumpulan pelbagai kaum yang selama ini mempertahankan negara.

“Ketua Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) (juga) perlu mengeluarkan kenyataan untuk dijadikan panduan ulama lain bagi menghalang ajaran menyeleweng.”

Gerakan Pembela Ummah dikatakan mempunyai 300 NGO Islam yang bernaung dibawahnya.

Ismail Mina juga dilaporkan berkata yang pihak yang tidak setuju dengan Perlembagaan Persekutuan perlu hidup di negara lain, pada konvensyen sama wakil Persatuan Bekas Pegawai Pendidikan Malaysia mengatakan kerajaan perlu menghentikan biasiswa kepada pelajar bukan Islam. – 14 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Itu ularmak bukan ulama

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Leslie Chan · Ulasan