Ketua pembangkang Tanzania didakwa atas tuduhan keganasan


Pemimpin pembangkang Tanzania Freeman Mbowe didakwa di mahkamah negara itu kerana membiayai dan bersubahat melakukan keganasan di negara itu. – Gambar AFP, 6 Ogos, 2021.

PEMIMPIN pembangkang Tanzania, Freeman Mbowe, tiba di mahkamah pada Jumaat atas tuduhan keganasan yang dikecam penyokongnya sebagai berasaskan politik bagi membungkam perbezaan pendapat.

Ini kali pertama Mbowe dilihat di khalayak ramai sejak beliau ditangkap bersama ahli parti Chadema yang lain pada 21 Julai, beberapa jam sebelum mereka mengadakan forum awam mengenai reformasi Perlembagaan.

Mbowe, 59, dibawa dari penjara ke mahkamah di Dar es Salaam, Tanzania.

Keselamatan diperketat bagi mengelakkan demonstrasi oleh penyokongnya di luar mahkamah pada Khamis yang dileraikan oleh polis antirusuhan.

Bagaimanapun Chadema berkata 11 ahli parti itu ditangkap ketika mereka hadir ke mahkamah pada Jumaat.

Mbowe didakwa kerana membiayai dan bersubahat untuk membuat keganasan dalam satu kes yang telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan kumpulan hak asasi dan negara-negara Barat mengenai keadaan demokrasi di bawah Presiden Tanzania, Samia Suluhu Hassan.

Kesnya ditangguhkan sehingga 13 Ogos.

Mbowe dijadualkan didakwa di mahkamah secara video dari penjara pada Khamis namun kes itu ditangguhkan ke hari Jumaat kerana masalah internet, kata peguam bela Peter Kibatala.

Kibatala pada Khamis berkata tuduhan terhadap Mbowe “tidak ada asas perundangan”, menggambarkan mereka sebagai “oportunis dan mungkin bermotifkan politik.”

Penangkapan Mbowe dibuat empat bulan selepas Hassan mengambil alih tampuk presiden berikutan kematian pendahulunya John Magufuli. – AFP, 6 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen