Tanzania akan lancar vaksinasi Covid-19 tidak lama lagi


Seorang wanita Tanzania membawa bakul di kepalanya ketika berjalan di hadapan grafiti mengingatkan kesedaran tentang pemakaian pelitup muka bagi mengelak risiko Covid-19. – Gambar AFP, 23 Julai, 2021.

KERAJAAN Tanzania sedang bersiap untuk melancarkan vaksinasi Covid-19 tidak lama lagi, dalam pertukaran dasar bekas pemimpin skeptik Covid di negara itu.

Menteri Kesihatan Dorothy Gwajima berkata pada Khamis kerajaan juga melarang semua “pertemuan tidak penting” bagi mencegah penyebaran koronavirus.

Mendiang pemimpin Tanzania John Magufuli telah merendahkan kesan pandemik dan pelitup muka, walaupun negara-negara jiran menutup sempadan dan membuat sekatan pergerakan.

Kerajaan berhenti melaporkan data Covid-19 pada April 2020, dengan Magufuli berkata tindakan itu akan menakutkan orang ramai dan menggambarkan vaksin sebagai bahaya.

Bagaimanapun sejak kematian Magufuli pada Mac, penggantinya Samia Suluhu Hassan telah mengambil pendekatan berbeza, dengan mewujudkan pasukan petugas pakar untuk menasihati kerajaan tentang bagaimana cara terbaik untuk menangani wabak tersebut.

“Gelombang ketiga sudah ada di negara ini dan tidak ada yang perlu disembunyikan,” kata Hassan awal bulan ini, mendesak warga Tanzania akur dengan garis panduan kesihatan seperti memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

Gwajima berkata vaksin akan mula diberikan tidak lama lagi secara percuma kepada mereka yang mahu, namun belum menetapkan tarikh lagi.

“Saya minta semua rakyat bersiap sedia untuk vaksinasi,” katanya.

Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit Afrika (Afrika CDC) pada Khamis berkata Tanzania, Eritrea dan Burundi merupakan negara di benua tersebut yang belum beri vaksin Covid-19 kepada rakyatnya.

Bagaimanapun negara yang berjumlah 58 juta itu baru-baru ini mengemukakan permohonannya untuk bergabung dalam inisiatif perkongsian vaksin Covax, dan program lain untuk memperoleh suntikan di bawah Kesatuan Afrika. – AFP, 23 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen