Muhyiddin perlu berundur, biar Agong tentukan masa depan negara, kata Ku Li


Raevathi Supramaniam

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menggesa Parlimen dilanjutkan supaya boleh membahas ordinan darurat, selain menuntut perdana menteri dan kabinetnya berundur kerana mengabaikan titah Yang di-Pertuan Agong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Julai, 2021.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya perlu berundur kerana mengabaikan titah Yang di-Pertuan Agong supaya membahaskan ordinan darurat di Parlimen, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Ahli Parlimen Gua Musang berkata dengan perletakan jawatan Muhyiddin dan kabinetnya, akan membolehkan Yang di-Pertuan Agong memutuskan masa depan yang lebih baik buat negara.

“Ini satu pembohongan besar dan tak cerdik kerajaan melakukan perbuatan seumpama ini (tidak bahas ordinan di Parlimen). Perbuatan ini sudah tentu telah menimbul kemurkaan Yang di-Pertuan Agong kita.

“Saya syorkan, dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana Negara, perdana menteri dan menteri-menterinya letak jawatan dan berundur daripada pemerintahan negara.

“Serah balik kuasa ini kepada Yang di-Pertuan Agong dan biar Yang di-Pertuan Agong menentukan masa depan negara kita.

“Dengan kita buang halangan ini, mungkin, keadaan ekonomi akan bertambah baik dan mungkin strategi baharu boleh digunakan bagi kita mengakhiri wabak Covid-19 yang mengancam keselamatan rakyat.

“Berapa ribu lagi nak tunggu rakyat bunuh diri dan sebagainya sebelum satu tindakan efektif boleh dilakukan. Dengan lockdown yang diamalkan sekarang sukar untuk rakyat berurusan dalam mencari dan membina kehidupan mereka seharian,” kata veteran Umno itu dalam satu sidang media di Facebook malam ini.

Tengku Razeleigh mengulas pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan pada Isnin mengatakan ordinan darurat telah dibatalkan oleh kerajaan sejak 21 Julai. Beliau juga berkata keputusan itu dibuat sesuai dengan Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Pengumumannya itu membingungkan ahli Parlimen, dengan ramai mempersoalkan adakah keputusan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Takiyuddin sebaliknya berdalih dengan berkata beliau akan mengulas lanjut dalam sidang Parlimen pada Isnin, 2 Ogos ini.

Bagaimanapun, semalam Istana Negara menegaskan belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sejak 11 Januari lalu.

Yang di-Pertuan Agong sebaliknya dukacita kerana kerajaan Muhyiddin membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan, kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin.

Istana Negara turut mengimbas kembali majlis mengadap dalam talian bersama Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun di mana Al-Sultan Abdullah memberi perkenan dan menitahkan supaya perkara itu dibentang dan dibahas di Parlimen.

Susulan kenyataan Istana Negara itu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) membuat kenyataan balas dengan berkata kerajaan bertindak mengikut undang-undang dalam membatalkan ordinan darurat pada 21 Julai.

Tambah PMO, Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, Tengku Razaleigh berkata sidang Parlimen perlu dilanjutkan bagi membolehkan Dewan Rakyat dan Dewan Negara membahaskan ordinan darurat.

“Patut sidang Parlimen yang ada sekarang dilanjutkan, memberi peluang kepada ahli-ahli menyuarakan pendapat rakyat tentang baik buruk ordinan-ordinan yang ada dipakai sekarang.”

Beberapa ahli Parlimen lain juga senada dengan Tengku Razeleigh menggesa Muhyiddin letak jawatan.

Semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berkata Muhyiddin Yassin perlu meletak jawatan kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong untuk membahaskan dan mengungkai semua ordinan darurat di Parlimen.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad juga menggesa Muhyiddin dan anggota Kabinetnya mengundurkan diri kerana sengaja berbohong kepada Parlimen mengenai pembatalan ordinan darurat.

Semalam juga ketua pembangkang Anwar Ibrahim telah mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. – 30 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen