Ordinan darurat batal ikut undang-undang, kata pejabat Muhyiddin


PMO berkata tindakan pembatalan ordinan darurat dibuat mengikut undang-undang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Julai, 2021.

KERAJAAN bertindak mengikut undang-undang dalam membatalkan odinan darurat tanpa perlu mengungkaikan perkara itu di Dewan Rakyat, kata Pejabat Perdana Menteri.

Kenyataan dikeluarkan pejabat Muhyiddin Yassin itu menjawab kenyataan Istana Negara mengenai kemurkaan Yang di-Pertuan Agong ke atas tindak-tanduk kerajaan berhubung pembatalan itu.

Ia mengambil maklum kenyataan istana hari ini dan menegaskan bahawa baginda perlu bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri.

“Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sedia maklum bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku perlu menerima dan bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri seperti yang terkandung dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan.”

Menurut pejabat Muhyiddin, kerajaan bertindak mengikut undang-undang kerana semua ordinan darurat sudahpun dibentang di atas meja Dewan Rakyat pada 26 Julai.

Sidang Parlimen pula hanya melibatkan Mesyuarat Khas berkenaan penerangan menteri dan tiada sebarang usul untuk mengungkai ordinan darurat.

“Kerajaan berpandangan semua tindakan yang diambil ini teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang dan perlembagaan persekutuan,” kenyataan itu dipetik.

Selanjutnya, kenyataan itu menyebut keputusan pada awalnya dibuat oleh Kabinet pada 21 Julai untuk tidak melanjutkan perintah darurat apabila ia tamat pada 1 Ogos.

“Ordinan ini memperuntukkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dibatalkan berkuatkuasa pada 21 Julai 2021.”

Deraf pembatalan ordinan itu diterima pada 22 Julai dan seterusnya pada 23 Julai, perdana menteri mengutuskan warkah pada 23 Julai bagi memaklumkan baginda, menurut kenyataan itu.

Seterusnya, ia menjelaskan Muhyiddin sewaktu menghadap baginda pada 27 Julai juga menjelaskan kepada baginda mengenai nasihat Kabinet mengenai perkara itu.

“Perdana menteri juga telah menyembah maklum pandangan kerajaan bahawa kesemua ordinan darurat tersebut tidak perlu diungkaikan oleh Parlimen memandangkan Jemaah Menteri telah pun menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkannya

Dalam sesi itu, Muhyiddini juga menjelaskan kepada baginda bahawa kekeliruan mengenai perkara itu pula cuba ditimbulkan oleh pembangkang, menurut kenyataan itu.

 

Kenyataan Istana Negara terdahulu pada tengah hari pula menzahirkan kemurkaan baginda kerana ordinan itu diumumkan terbatal tanpa mengikut proses yang ditetapkan.

Ini kerana baginda belum memberi perkenan untuk membatalkan semua ordinan darurat yang dimasyhurkan sejak 11 Januari itu.

Menurut istana, baginda amat dukacita kerana baginda sudahpun menitahkan supaya semua ordinan tersebut dibentang dan dibahaskan di Parlimen untuk diungkaikan.

Titah disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara Idrus Harun semasa sesi mengadap baginda pada Sabtu lalu bagaimanapun tidak dilaksana.

Pembangkang mengesyaki kerajaan mengelak sebarang perbahasan dan pengundian di Dewan Rakyat kerana Muhyiddin tidak menguasai majoriti pada masa ini.– 29 Julai, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen