Umno mahu Muhyiddin, Takiyuddin letak jawatan


MUHYIDDIN Yassin perlu meletak jawatan kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong untuk membahaskan dan mengungkai semua ordinan darurat di Parlimen, kata Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden Umno itu berkata, seruan sama dibuat ke atas menteri hal ehwal undang-undang Takiyuddin Hassan atas sebab sama.

Katanya, pembatalan ordinan darutat yang dibuat tanpa perkenan baginda itu jelas merupakan penderhakaan ke atas baginda.

“Sehubungan dengan itu, Umno akan meminta Mahiaddin Yasin dan Takiyuddin Hassan untuk meletakkan jawatan secara terhormat,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Umno juga mahu ahli Parlimen dari parti itu menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai perdana menteri seperti yang ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi pada 7 Julai, katanya.

Katanya, ahli Parlimen perlu memenuhi sumpah jawatan untuk taat setia kepada baginda dan melindungi perlembagaan.

Terdahulu Istana Negara mengumumkan baginda belum memberi perkenan untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang dimasyhurkan sejak 11 Januari lalu.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga dukacita kerana kerajaan Muhyiddin membatalkan ordinan berkenaan tanpa mengikut proses yang ditetapkan.

Ia berkait dengan kenyataan Takiyuddin di Parlimen pada 26 Julai lalu bahawa kerajaan membatalkan semua ordinan itu walau belum lagi diperkenan baginda.

Takiyuddin pada tarikh itu memberitahu Dewan Rakyat, enam ordinan darurat sudah dibatalkan sejak 21 Julai.

Semakan menunjukkan pada hari itu Jemaah Menteri mengadakan mesyuarat mingguannya.

Menurut Istana Negara, ia tidak menepati titah Al-Sultan Abdullah kepada kepada Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun semasa mereka mengadap baginda secara dalam talian pada Sabtu.

Semasa majlis mengadap itu, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan dan menitahkan supaya perkara itu dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan.

Perkara tersebut bagaimanapun tidak dilaksankan. – 29 Julai, 2021.  


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen