ACARA golf Olimpik Tokyo suram apabila dua bintang utama sukan itu, Jon Rahm dan Bryson DeChambeau disahkan positif Covid-19, hari ini.
Pemain nombor satu dunia dan juara Terbuka Amerika Syarikat 2020 itu terpaksa menarik diri daripada saingan Sukan Olimpik Tokyo.
PGA mengumumkan DeChambeau digantikan oleh Patrick Reed manakala beberapa jam kemudian Jawatankuasa Olimpik Sepanyol memaklumkan Rahm pula menarik diri setelah disahkan positif Covid-19 untuk kali kedua dalam tempoh dua bulan.
Virus ini memberi bayangan mengenai masalah temasya sukan tersebut dengan sebanyak 132 kes berkaitan Olimpik di Jepun setakat ini. Tiga belas daripadanya membabitkan atlet.
Kehilangan Rahm dan DeChambeau yang digantikan oleh Patrick Reed merampas kerancakan saingan acara berkenaan susulan ketiadaan dua bintang itu.
“Bryson DeChambeau disahkan positif Covid-19 ketika menjalani ujian ujian terakhir sebelum beliau berangkat ke Olimpik 2020 di Jepun,” kata PGA dalam satu kenyataan bagi pihak pasukan golf Amerika Syarikat.
“Beliau tidak akan dapat bersaing untuk pasukan Amerika Syarikat.
“Patrick Reed akan menggantikan DeChambeau dan sedang menjalani protokol ujian yang diperlukan hari ini, Ahad dan Isnin sebelum berangkat ke Jepun.”
Dechambeau tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya.
“Saya sangat kecewa kerana tidak dapat bertanding dalam Olimpik untuk pasukan Amerika Syarikat,” kata DeChambeau.
“Mewakili negara bererti dunia bagi saya dan merupakan kehormatan luar biasa untuk pasukan ini,” katanya. – AFP, 25 Julai, 2021.
Komen