MUDA akan terus berperanan untuk menyemak dan mengimbangi kerajaan biarpun presiden pengasas dan penajanya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman diheret ke mahkamah, kata ketua penerangannya Zaidel Baharuddin.
Muda tidak boleh berdiam diri dan tidak menegur kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, melihat pada keadaan negara sekarang di tengah pelbagai krisis akibat Covid-19, katanya.
“Keadaan negara sekarang sangat mengarut. Kalau mereka fikir pertuduhan di mahkamah ini akan menutup mulut kami atau menyebabkan kami tidak menunjukkan kesalahan kerajaan, mereka silap besar.
“Perjuangan ini diteruskan. Kami tidak akan berundur. Kami lebih percayakan mahkamah daripada percaya pada kerajaan,” kata Zaidel kepada The Malaysian Insight.
Beliau diminta menjelaskan kenyataan awalnya di Facebook bahawa Muda akan tetap jalan tegak melawan kegagalan kerajaan, biarpun Syed Saddiq didakwa di mahkamah.
Syed Saddiq mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan berasingan pecah amanah dan salah guna wang RM1.12 juta milik sayap Pemuda Bersatu yang pernah dipimpinnya sehingga Mei 2020.

Beliau dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi kerana pecah amanah mengeluarkan RM1 juta dari akaun Pemuda Bersatu tanpa kebenaran pimpinan parti.
Beliau juga dituduh menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Kesalahan didakwa berlaku pada April 2018, sebelum PRU14 pada 9 Mei berikutnya.
Selepas berita mengenai pendakwaan ini tersebar malam tadi, Syed Saddiq menegaskan tindakan terhadapnya bermotifkan politik.
Bekas menteri belia dan sukan berkata beliau rela diheret ke mahkamah daripada terpaksa menyertai PN.
Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir yang sebelum ini bersama-sama Syed Saddiq dalam Bersatu mempertahankan ahli Parlimen Muar itu.
“Ada orang yg masuk politik untuk kayakan diri. Syed Saddiq bukan antara mereka. Ada pula yang awalnya bersih tapi bila berkuasa mula songlap duit. Syed Saddiq juga bukan antara mereka,” tulisnya di Twitter.
Ada orang yg masuk politik utk kayakan diri. @SyedSaddiq bukan antara mereka. Ada pula yg awalnya bersih tapi bila berkuasa mula songlap duit. SS juga bukan antara mereka. #solidaritisyedsaddiq
— Mukhriz Mahathir (@MukhrizMahathir) July 21, 2021
Selepas tersingkir dari Bersatu pada Mei 2020, Muhkriz mengasaskan Pejuang sementara Syed Saddiq menubuhkan Muda.
Tidak terkejut
Menurut Zaidel, Muda tidak terkejut dengan pendakwaan terhadap Syed Saddiq.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dakwaan ugutan politik yang diterima oleh presiden penaja partinya itu.
“Kita tunggu perbicaraan kes di mahkamah kerana saya tidak boleh mendahuluinya. Saya kira Syed Saddiq akan mendedahkannya di mahkamah,” katanya.
Sementara itu katanya, Muda akan fokus untuk mengesahkan pendaftaran parti, yang akan didengar di mahkamah pada bulan depan.
“Jujurnya, itu yang lebih kami fikirkan.
“Kami akan berjuang. Kami akan tumpu pada pendaftaran, hak mengundi 18 tahun dan persidangan Parlimen akan datang untuk pastikan perdana menteri tidak ada cek kosong untuk buat apa saja yang beliau suka.
“Tiga perkara ini tumpuan kami sekarang,” katanya.
Muda kini mempunyai lebih kurang 45,000 ahli dan masih membuka penyertaan umum, tambah Zaidel. – 22 Julai, 2021.
Komen