Syed Saddiq mengaku tak bersalah keluar wang, salah guna RM1.12 juta


Kalidevi Mogan Kumarappa

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dituduh mengeluarkan wang RM1 juta tanpa kebenaran parti Bersatu pada 6 Mac tahun lalu melalui cek bank CIMB. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 22 Julai, 2021.

SYED Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah ke atas tuduhan mengeluarkan wang RM1 juta tanpa kebenaran Bersatu dan menyalahgunakan dana parti berjumlah RM120,000.

Untuk tuduhan pertama, beliau didakwa mengeluarkan wang tunai RM1 juta tersebut melalui cek bank CIMB pada 6 Mac tahun lalu tanpa mendapat kebenaran Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Syed Saddiq yang juga bekas menteri dalam pentadbiran Pakatan Harapan didakwa berbuat demikian di Menara CIMB KL Sentral.

Pertuduhan dibuat ke atasnya mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 406 itu membawa hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda.

Bagi tuduhan kedua, beliau didakwa menyalahguna sumbangan kempen pilihan raya Bersatu berjumlah RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad.

Syed Saddiq didakwa bertindak demikian antara 8 April hingga 21 April 2018 melibatkan dana dalam akaun yang didakwa milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Tuduhan mengikut seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun, serta sebatan dan denda.

Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi menetapkan jaminan RM300,000 untuk tuduhan pertama dan RM30,000 untuk tuduhan kedua, kedua-duanya dengan satu penjamin.

Beliau juga mengarahkan tertuduh melaporkan diri kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) setiap bulan.

Azura turut menetapkan tarikh 10 September bagi pengurusan kes untuk kedua-dua pertuduhan.

Syed Saddiq diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Ambiga Sreenevasan. 

Tarikh 6 Mac bagi tuduhan mengeluarkan wang parti tanpa kebenaran itu merupakan antara titik penting dalam perkembangan parti Bersatu yang sedang bergolak pada masa itu.

Ia berlaku selepas Bersatu mengetuai gerakan mengambil alih kerajaan Pakatan Harapan bersama PAS dan Umno.

Beberapa hari sebelum tarikh 6 Mac itu, setiausaha agung Bersatu pada masa itu, Redzuan Yusof dilaporkan mengumumkan Syed Saddiq merupakan antara pemimpin Bersatu yang sedang berdepan tindakan disiplin.

Dua lagi yang diumumkan berdepan tindakan sama pada waktu itu ialah Dr Mahathir Mohamad dan anaknya Mukhriz.

Ia ekoran sikap mereka yang bertentangan dengan pendirian Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang mahu membentuk kerjasama dengan Umno.

Seterusnya pada 28 Mei, Bersatu menggugurkan keahlian Syed Saddiq, Dr Mahathir, Mukhriz dan dua lagi ahli Parlimen parti itu iaitu Maszlee Malik dan dan Amiruddin Hamzah. – 22 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen