TINDAKAN mahkamah terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan melemahkan semangat Muda untuk membawa perubahan, kata ketua penerangan parti Zaidel Baharuddin.
Katanya, Muda tidak akan tunduk dan berundur daripada perjuangannya sebaliknya akan tetap “jalan tegak” melawan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau ada pihak yang merasakan perkara ini akan menutup kegagalan kepimpinan hari ini, membuatkan menteri-menteri bodoh kelihatan bijak, ahli Parlimen lompat katak nampak mulia atau membuatkan Muda berdiam diri, silaplah langkah.
“Kita tak cuak, kita jalan tegak dan bersama-samalah dengan Muda memerangi kebodohan, kegagalan dan kerosakan yang diungguli oleh kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas Syed Saddiq didakwa atas dua tuduhan pecah amanah dan salah guna wang RM1.12 juta milik sayap Pemuda Bersatu yang pernah dipimpinnya sehingga Mei 2020.
Selepas diberhentikan dari Bersatu kerana tidak menyokong kerajaan Muhyiddin Yassin dan PN, Syed Saddiq mengasaskan Muda, atau nama penuhnya Ikatan Demokratik Malaysia.
Pendaftaran Muda bagaimanapun ditolak oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dan sedang dicabar di mahkamah.
Zaidel mengulangi kenyataan Syed Saddiq malam tadi bahawa pendakwaan mahkamah terhadap presiden penaja Muda itu bermotifkan politik.
“Secara peribadi Syed Saddiq lega akhirnya ini dibawa ke mahkamah, tak perlulah nak dipanggil lagi atau nak dibawa ‘berbincang’,” katanya, mengulangi dakwaan ugutan politik terhadap bekas menteri belia dan sukan itu.
Zaidel berkata Syed Saddiq berdepan tekanan dipanggil untuk soal siasat sejak pertukaran kerajaan Perikatan Nasional menggantikan Pakatan Harapan melalui episod percaturan politik Langkah Sheraton pada hujung Februari 2020.
Katanya, setiap kali dipanggil, setiap kali itu peguam Muda turut serta dan Syed Saddiq juga memaklumkan perkembangan kepada jawatankuasa pimpinan parti.
“Sebagaimana pendaftaran Muda yang tertangguh melalut-lalut lamanya, yang kini dibicarakan, biarlah mahkamah yang menentukan kebenaran dan menegakkan keadilan dan bukan disucikan dengan sokongan yang tidak berbelah bagi (kepada PN),” tambahnya.
Syed Saddiq berhadapan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun, sebatan dan denda untuk tuduhan pecah amanah mengeluarkan RM1 juta dari akaun Bersatu tanpa kebenaran pimpinan parti.
Beliau juga berhadapan hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, serta sebatan dan denda untuk tuduhan menyalahguna sumbangan kempen pilihan raya Bersatu berjumlah RM120,000.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua tuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi.
Hakim membenarkan ikat jamin keseluruhan RM330,000 dengan seorang penjamin.
Kedua-dua kes ditetapkan untuk pengurusan pada 10 September. – 22 Julai, 2021
Komen