SYED Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan beliau rela diheret ke mahkamah daripada terpaksa menyertai Perikatan Nasional, sekali gus mengesahkan laporan seorang bekas menteri dan ahli Parlimen akan didakwa kerana menyeleweng lebih RM1 juta duit sebuah parti politik.
Syed Saddiq adalah bekas menteri belia dan sukan kerajaan Pakatan Harapan dan pernah mengetuai sayap Pemuda Bersatu.
Ahli Parlimen Muar menyifatkan pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik dan ada kaitan dengan keengganannya bersama PN, parti pemerintah yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
“Pada saat beginilah saya diingatkan kenapa saya masuk politik,” katanya dalam rakaman video yang disebarkan melalui akaun media sosialnya di pelbagai platform.
“Kebenaran akan terbukti juga akhirnya. Saya lebih rela masuk mahkamah daripada Perikatan Nasional.”
Menurut Syed Saddiq, ugutan politik ini sudah berlarutan sejak lebih setahun.
Sumber agensi anti rasuah memberitahu media siasatan terhadap Syed Saddiq bermula sejak Jun tahun lalu, selepas kehilangan wang sebanyak RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya pada Mac sebelum itu.
“Setiap kali ada undian penting di Parlimen ugutan akan datang – pada Julai, Disember, Januari dan kini seminggu sebelum Parlimen bersidang.
“Berani kerana benar. Saya tidak akan jual jiwa raga saya kepada Perikatan Nasional,” katanya.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum itu berkata seorang bekas menteri yang juga ahli parlimen akan didakwa mengikut Seksyen 403 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan kerana salah guna harta dan jenayah pecah amanah.
Bekas menteri itu juga akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) pada hari lain.
“Individu berkenaan dipercayai menyeleweng dana politik parti yang dianggarkan RM1.12 juta ketika beliau memegang jawatan ketua Pemuda parti berkenaan,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Syed Saddiq dipecat dari Bersatu pada Mei tahun lalu kerana tidak mendukung kerajaan Muhyiddin. Beliau selepas itu mengemukakan permohonan mendaftarkan parti politik baru Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Parti itu sehingga ini belum diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Sementara itu, Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi berkata Syed Saddiq akan membentangkan bukti di mahkamah untuk menunjukkan pendakwaan terhadapnya bermotifkan politik.
“Penyelewengan dana seperti yang didakwa juga adalah satu tuduhan jahat, yang tidak benar,” katanya.
Pada Mac tahun lalu, Syed Saddiq membuat laporan polis mendakwa wang tunai RM250,000 hilang dari peti simpanan keselamatan di rumahnya dekat Petaling Jaya.
Beliau mendakwa wang yang hilang itu milik peribadinya serta ibu bapanya.
Dalam laporannya beliau menyebut hanya beberapa orang tahu kod peti simpanan selamat itu, yang kali terakhir dibukanya sendiri pada 13 atau 14 Mac 2020.
Selain jenayah curi, kes itu turut disiasat oleh SPRM selepas menerima menerima laporan mengenai “pemilikan (wang) yang meragukan”.
SPRM telah mengambil keterangan daripada beberapa saksi termasuk bekas menteri itu.
Bekas menteri itu juga telah diminta mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian daripada siasatan pada bulan lalu. – 21 Julai, 2021.
Komen