Keluarga pastor terkejut, kecewa siasatan Suhakam digantung


Noel Achariam

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai berjalan masuk ke dewan siasatan di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur hari ini sebelum mengumumkan siasatan awam kehilangan Pastor Raymond Koh digantung sehingga ke tarikh yang akan ditetapkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Januari, 2018.

KELUARGA Pastor Raymond Koh berkata mereka terkejut apabila Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menangguhkan siasatannya terhadap penculikan pastor itu selepas seorang suspek didakwa atas kesalahan menculik semalam.

Susanna Liew, isteri Koh berkata keluarganya terkejut dengan pengumuman yang dibuat pada hari ini ketika siasatan hari ke-12 berkenaan kehilangan suaminya itu baru saja bermula.

“Ini sangat mengejutkan kami kerana kami tidak tahu langsung keadaan seperti ini akan berlaku.

Kami datang kepada Suhakam untuk mencari jawapan terhadap pelbagai persoalan tentang penculikan Raymond.

“Kami kecewa apabila harapan kami untuk mencari kebenaran dan mendapatkan keadilan kini disekat dan dinafikan,” katanya ketika ditemui selepas sesi siasatan awam itu berakhir di pejabat Suhakam di Kuala Lumpur.

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai yang mengetuai siasatan itu memberitahu suruhanjaya berkenaan menerima surat daripada polis semalam berkenaan penahanan seorang suspek dalam kes Koh pada 12 Januari.

“Lam Chang Nam dari Taman Sri Ampang, Ipoh, didakwa kerana menculik di mahkamah Petaling Jaya, semalam.

“Polis berkata di bawah Seksyen 12 Akta Suhakam, siasatan awam itu perlu dihentikan jika ia menjadi kes mahkamah,” katanya.

Mah berkata melihat kepada keadaan itu, panel membuat keputusan untuk menghentikan siasatan itu sehingga diberitahu kelak.

“Saya pasti semua pihak memerlukan masa untuk mengkaji skop dalam Seksyen 12 itu.

“Kita akan bersambung semula dengan dua kes lain iaitu Amri Che Mat dan Pastor Joshua dan Ruth Hilmy.

“Pemberhentian hanya untuk kes Koh.”

Liew berkata beliau berharap ada keadilan untuk keluarganya kerana mereka masih menaruh harapan kepada sistem itu.

“Saya takut hari ini, harapan ini hancur. Saya akan minta khidmat nasihat peguam tentang bagaimana untuk meneruskannya,” katanya.

Peguam keluarga Koh, Gurdial Singh berkata mereka terkejut siasatan itu tersekat dengan kemasukan pendakwaan terhadap seorang individu (Lam) di mana Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat menyatakan suspek itu tidak ada kaitan dengan penculikan berkenaan.

“Fadzil ialah ketua pasukan petugas khas yang menyiasat penculikan Koh dan saksi ke-11 dalam siasatan Suhakam.

“Beliau berkata siasatan polis menunjukkan pada Mac 2017, individu tersebut tidak terbabit dalam penculikan itu.

“Sekarang, ketika kita menghampiri penghujung siasatan dan kami masih ada tiga saksi penting untuk beri keterangan, individu ini (Lam) didakwa.

“Siasatan ini terpaksa disenyapkan pada ketika ini, apa sebenarnya rancangan polis,” katanya.

Gurdial berkata polis sebagai pegawai yang sepatutnya menghadiri inkuiri hari ini, tidak hadir.

“Jadi kami tidak tahu apa pendirian mereka terhadap keadaan ini. Ia sangat malang kerana keadaan ini boleh dianggap oleh masyarakat umum sebagai cubaan sengaja dilakukan untuk melengahkan lagi hasil siasatan awam ini.

“Mereka sepatutnya beri penjelasan tentang kesimpulan awal mereka bahawa individu itu (Lam) tidak terbabit,” katanya.

Gurdial berkata pihaknya akan menghantar nota bertulis kepada suruhanjaya itu tentang apa yang berlaku dan bagaimana Suhakam, menurut pandangan mereka boleh meneruskan siasatan.

“Kami akan meneruskan dengan kes Amri, Joshua dan Ruth kerana wujud modus operandi yang hampir serupa. Kami berharap tidak ada lagi kejutan dalam dua siasatan itu,” katanya.

Suruhanjaya siasatan Suhakam ditubuh bagi menentukan sama ada kehilangan Koh dan tiga yang lain –pada 2016 adalah kes kehilangan paksa, iaitu penculikan yang dibuat dengan kuasa atau sokongan negeri atau organisasi politik.

Tiga saksi pada awalnya dijangka hadir pada sidang pendengaran hari ini, antaranya bekas ahli majlis Petaling Jaya Peter Chong yang dipanggil semula untuk mengemukakan pasport dan tiket sebagai bukti kehadirannya di Thailand.

Panel itu juga mulanya dijangka akan menyoal pegawai teknikal polis di kamera televisyen litar tertutup dan rakaman video mengenai laluan penculik Koh.

Seorang pegawai Imigresen juga sepatutnya akan dipanggil untuk mengesahkan keterangan yang diberikan oleh isteri Koh yang mengatakan beliau dan suaminya ditahan dan disoal oleh Cawangan Khas sebanyak sembilan kali di pusat pemeriksaan Imigresen Johor.

Mah mempengerusikan panel itu bersama dua pesuruhjaya lain, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha. – 16 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen