Siasatan Suhakam kehilangan pastor digantung, susulan suspek didakwa


Noel Achariam

Sesi pendengaran siasatan Suhakam berhubung kehilangan pastor dan tiga aktivis lain dimulakan lewat ekoran kelewatan Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai disebabkan keretanya mengalami kerosakan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 16 Januari, 2018.

SIASATAN awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung penculikan Pastor Raymond Koh diteruskan hari ini sejak sesi terakhirnya pada 23 November.

Tiga saksi dijangka hadir pada sidang pendengaran hari ini, antaranya bekas ahli majlis Petaling Jaya Peter Chong yang dipanggil semula untuk mengemukakan pasport dan tiket sebagai bukti kehadirannya di Thailand.

Chong tahun lepas mendakwa ke selatan Thailand pada April untuk mencari jawapan mengenai kehilangan Koh dan di sana, beliau diculik dan ditahan selama seminggu.

Koh diculik dari keretanya di Petaling Jaya hampir setahun lalu pada 13 Februari oleh penculik yang menaiki beberapa SUV hitam.

Terdapat dakwaan pastor yang menjalankan pusat kebajikan bagi golongan miskin dan memerlukan itu aktif mempromosikan Kristian, yang dianggap jenayah di Malaysia apabila ia dilakukan terhadap umat Islam.

Suruhanjaya siasatan Suhakam ditubuh bagi menentukan sama ada kehilangan Koh dan tiga yang lain – Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth dan aktivis sosial Amri Che Mat – adalah kes kehilangan paksa, iaitu penculikan yang dibuat dengan kuasa atau sokongan negeri atau organisasi politik.

Panel itu juga akan menyoal pegawai teknikal polis di kamera televisyen litar tertutup dan rakaman video mengenai laluan penculik Koh.

Seorang pegawai Imigresen juga akan diminta untuk mengesahkan keterangan yang diberikan oleh isteri Koh, Susanna Liew yang mengatakan beliau dan suaminya ditahan dan disoal oleh Cawangan Khas sebanyak sembilan kali di pusat pemeriksaan Imigresen Johor.

Inkuiri ini berlangsung selama 11 hari. Selepas hari ini, ia akan diadakan pada 29 dan 30 Januari.

Panel itu sudah mendengar daripada 15 saksi termasuk anggota keluarga pastor, polis, saksi kejadian penculikan dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai mengetuai panel, termasuk dua pesuruhjaya lain, Aishah Bidin dan Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleha.

The Malaysian Insight membawa secara langsung prosiding hari ini:

12.02 pm: Mah yang membacakan surat itu berkata polis mengusulkan supaya pendengaran itu digantung mengikut Seksyen 12 Akta Suhakam.

“Melihat kepada keadaan sekarang kami memutuskan untuk memberhentikan siasatan ini sehingga diberitahu kelak.

“Saya pasti semua pihak memerlukan masa untuk mengkaji skop dalam Seksyen 12 itu.

“Kita akan bersambung semula dengan dua kes lain iaitu Amri Che Mat dan Pastor Joshua dan Ruth Hilmy.

“Pemberhentian hanya untuk kes Koh.”

11.20am: Siasatan berehat dan bergerak ke kamar untuk membincangkan surat yang dihantar daripada Ketua Polis Negara Fuzi Harun kepada Suhakam bersama peguam keluarga Koh dan wakil daripada Majlis Peguam.

10.55am: Hari ke-12 siasatan awam penculikan Pastor Raymon Koh disambung. Siasatan bermula lewat hari ini disebabkan kereta Pesuruhjaya Suhakam dan Ketua Panel Mah Weng Kwai mengalami kerosakan.

Mah memaklumkan Suhakam menerima surat semalam yang polis telah menangkap suspek dalam kes Koh pada 12 Januari.

Lam Chang Nam dari Taman Sri Ampang, Ipoh, didakwa menculik di mahkamah Petaling Jaya semalam. Mah berkata ini adalah kali pertama suruhanjaya mendengar mengenai Lam.

Ia dilaporkan pada Mac tahun lalu Lam, seorang pemandu Uber sambilan, didakwa memeras anak lelaki Koh, Jonathan, sebanyak RM30,000 sebagai pertukaran pembebasan bapanya.

Lam dituduh di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan yang berhubung pemerasan. Dia dikatakan melakukan kesalahan di Paradigm Mall di Petaling Jaya pada 6 Mac. – 16 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen