Jemaah menteri sokong Muhyiddin kekal PM


Jemaah menteri sokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri ketika Umno minggu lalu umum tarik balik sokongan mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2021.

JEMAAH menteri sebulat suara menyokong kepimpinan Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri, kata ahlinya, ketika Umno minggu lalu mengumumkan menarik balik sokongan mereka.

Jemaah menteri Muhyiddin turut dianggotai sembilan menteri daripada Umno, selain lima ahli Parlimen Umno juga memegang jawatan timbalan menteri.

Ahli jemaah menteri berkata pendirian mereka menyokong Muhyiddin dinyatakan dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

“Ahli jemaah menteri juga ingin memaklumkan bahawa setiap keputusan kerajaan dibuat secara kolektif oleh jemaah menteri setelah mengambil kira pandangan semua pihak,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Kenyataan itu juga menyebut fokus utama kerajaan pada masa ini ialah menjayakan Pelan Pemulihan Negara untuk keluar daripada pandemik Covid-19, demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Minggu lalu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pelantikan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob sebagai timbalan perdana menteri dan kekal memegang portfolio pertahanan.

Bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein pula diangkat sebagai menteri kanan menggantikan tugas Ismail Sabri sebagai menteri kanan keselamatan.

Pengumuman pelantikan mereka dibuat beberapa jam sebelum Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat membincangkan hala tuju parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ismail Sabri dan Hishammuddin juga mengumumkan mereka menerima pelantikan itu, sebelum MKT Umno bermesyuarat.

Selepas mesyuarat lebih empat jam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membuat pengumuman Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin dan menggesa beliau letak jawatan.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan bagaimanapun kemudian membuat kenyataan tambahan menyerahkan kepada ahli Parlimen Umno untuk membuat keputusan atas budi bicara mereka apabila berlaku undian di Dewan Rakyat.

Peguam Negara Idrus Harun dalam satu kenyataan minggu lalu menegaskan Muhyiddin masih kekal sebagai perdana menteri kerana kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Zahid adalah kenyataan parti politik.

Katanya, penentuan sokongan kepada perdana menteri dibuat oleh anggota Dewan Rakyat dan bukannya parti politik melalui kenyataan media. β€“ 14 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen