Ismail Sabri, Hishammuddin terima pelantikan baru dalam Kabinet


Ismail Sabri Yaakob berkata pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri satu amanah yang akan beliau galas demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

ISMAIL Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein menerima pelantikan mereka masing-masing sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kanan keselamatan, yang diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri, hari ini.

Dalam kenyataan berasingan, dua pemimpin Umno itu sama-sama menyifatkan pelantikan tersebut sebagai amanah yang akan mereka pikul untuk kestabilan negara yang diperlukan dalam menghadapi krisis Covid-19.

Ismail Sabri berkata pelantikannya sebagai timbalan perdana menteri satu amanah yang akan beliau galas “demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.”

Katanya, amanah itu memerlukan keikhlasan dan kejujuran untuk melaksanakan tanggungjawab yang berat di tengah cabaran krisis yang dibawa oleh pandemik Covid-19.

“Ini merupakan amanah yang perlu digalas dengan ikhlas dan jujur demi kestabilan politik, ekonomi dan kemakmuran negara.

“Lantikan ini bukanlah satu keistimewaan, sebaliknya adalah amanah dan tanggungjawab yang berat khususnya ketika kita menghadapi pandemik Covid-19 dan dalam usaha menjayakan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam satu kenyataan.

Ismail Sabri yang juga naib presiden Umno mengucapkan terima kasih kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan seluruh kepimpinan parti atas sokongan mereka kepadanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua ahli parlimen, pemimpin parti politik dan seluruh rakyat Malaysia.

“Doa saya semoga kita semua tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik dapat bersama-sama membawa Malaysia mencapai masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

Hishammuddin Hussein yang menerima pelantikan itu turut berjanji akan membantu perdana menteri melaksanakan pelan pemulihan negara keluar daripada pandemik Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Julai, 2021.

Pejabat Perdana Menteri petang ini mengumumkan pelantikan Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri dan Hishammuddin menggantikan tempatnya sebagai menteri kanan keselamatan.

“Pelantikan (Ismail Sabri sebagai timbalan perdana menteri) ini akan dapat membantu YAB Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi pada masa ini,” kata pengumuman itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan Ismail Sabri kekal sebagai menteri pertahanan manakala jawatan menteri luar negeri yang disandang oleh Hishammuddin diangkat sebagai menteri kanan.

Sementara itu, Hishammuddin menerima pelantikannya dengan janji akan membantu Muhyiddin melaksanakan pelan pemulihan negara keluar daripada pandemik Covid-19, yang diumumkan pada 15 Jun lalu.

“Saya sedar dan insaf, dalam berdepan pandemik Covid-19, tanggungjawab dan harapan rakyat cukup besar. InsyaAllah saya akan galas tanggungjawab ini sebaiknya,” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia akan dapat keluar daripada krisis akibat pandemik itu “dengan stabiliti, kesatuan dan kerjasama daripada semua pihak.”

“Percayalah, apa jua jawatan dan kedudukan yang diamanahkan, pendirian saya tetap sama - hanya mahu bekerja demi rakyat dan negara dengan seikhlas hati,” katanya.

Pelantikan ini dibuat di tengah desas-desus ada gerakan dalam Umno untuk menarik balik sokongan ahli parlimennya kepada kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Majlis Kerja Tertinggi Umno dijadual bermesyuarat malam ini selepas beberapa siri perbincangan dan pertemuan sejak tiga hari lalu membincangkan hala tuju parti dan kerjasamanya dengan kerajaan Muhyiddin. – 7 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen