Ahli Parlimen Umno bebas mengundi Dewan Rakyat, kata Ahmad Maslan


Setiausaha agung Umno Ahmad Maslan berkata ahli Parlimen parti itu bebas mengundi di Parlimen tanpa terikat dengan ketetapan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Julai, 2021.

AHLI Parlimen Umno bebas untuk mengundi di Parlimen nanti tanpa terikat dengan ketetapan parti, kata setiausaha agung Umno Ahmad Maslan.

Katanya, mereka boleh menggunakan budi bicara untuk mengundi seperti yang diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dalam mesyuaratnya semalam.

“MKT Umno mengambil keputusan bahawa ketika sidang Parlimen nanti, ahli-ahli Parlimen Umno boleh menggunakan budi bicara mereka apabila berlaku sebarang pengundian.

“Namun, difahami bahawa semua keputusan parti mestilah dijadikan panduan oleh ahli-ahli Parlimen Umno dalam melaksanakan sebarang tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan Ahmad adalah butiran tambahan mengenai keputusan MKT Umno semalam selain daripada yang diumumkan oleh presiden parti Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad juga memaklumkan Ahmad Zahid merakamkan ucap tahniah kepada naib presiden Ismail Sabri Yaakob atas pelantikan sebagai perdana menteri.

Awal hari ini, Ahli MKT Umno Armand Azhar Abu Hanifah mendedahkan Ahmad Zahid memberi restu kepada Ismail Sabri untuk menerima pelantikan sebagai timbalan perdana menteri.

Katanya, perkara itu dimaklumkan oleh Ismail Sabri sendiri dalam mesyuarat MKT Umno malam tadi.

Ahmad Zahid awal hari ini mengumumkan pendirian parti menarik sokongan kepada Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri kerana kerajaannya didakwa gagal.

Penarikan balik sokongan itu berkuat kuasa serta merta, kata Ahmad Zahid, selepas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno bermesyuarat lebih empat jam malam tadi.

Ahmad Zahid juga mengumumkan desakan Umno mahu Muhyiddin letak jawatan perdana menteri segera dan tempatnya diganti seorang perdana menteri sementara sehingga satu pilihan raya diadakan selepas keadaan pandemik Covid-19 terkawal.

Peguam Negara Idrus Harun dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata Muhyiddin masih kekal sebagai perdana menteri kerana penarikan balik sokongan kepadanya bukan daripada anggota Dewan Rakyat tetapi parti politik yang membentuk kerajaan. – 8 Julai, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen