Tangguh dulu haji di tengah pandemik, tumpu bantu orang miskin


Mohd Syazreen Abdullah

KERAJAAN Arab Saudi baru mengumumkan bahawa vaksin Sinovac telah diiktiraf dalam senarai salah satu vaksin yang diterima untuk memasuki negara itu. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri kemudian menyampaikan berita ini melalui laman sosial miliknya. Beliau menyebut orang ramai boleh menyampaikan berita gembira itu kepada ahli keluarga yang berniat menunaikan ibadah haji dan umrah pada masa akan datang, sekali gus mendoakan urusan jemaah haji Malaysia yang diluluskan untuk menunaikan haji pada tahun ini.

Berita begini memang ditunggu oleh majoriti besar Melayu Islam. Bahkan ini bukan sahaja disambut gembira oleh orang kampung yang sudah lama menabung untuk menunaikan ibadah haji, tetapi paling gembira dalam hal ini tentulah Melayu Islam kaya yang korup menunggu masa untuk menyucikan dosa mereka di hadapan Kaabah.

Namun, menjelang tibanya musim haji ketika menteri agama di Malaysia berkongsikan kegembiraan dan harapan agar para jemaah haji Malaysia dapat menunaikan ibadah haji pada tahun ini, sebaliknya ulama besar Islam, Sheikh Dr Ali Muhyiddin al-Qaradaghi pula menyeru kepada golongan kaya dan berkemampuan untuk mengubah peruntukan perbelanjaan mereka dengan menumpukan kepada bantuan, pemberian sedekah untuk golongan fakir miskin dan yang terjejas teruk disebabkan musibah pandemik covid-19.  

Justeru, kos nilai peruntukan haji yang besar boleh digantikan dengan menumpukan kepada usaha-usaha membantu kesusahan orang ramai di musim pandemik hari ini. Maka, umat harus tumpu soal kebajikan sosial berbanding tumpu menunaikan haji.

Demikian sikap pendirian dan keutamaan menteri agama dalam soal ini dilihat tidak selari dengan pandangan Sheikh Dr Ali Muhyiddin al-Qaradaghi yang terkenal dengan pengetahuan luas, teliti dan menguasai fiqh muamalat dan ekonomi Islam. 

Dalam seruan tersebut, Sheikh Dr Ali Muhyiddin al-Qaradaghi telah memberikan contoh teladan tentang hal ini melalui kisah cukup terkenal mengenai ahli hadis yang kaya dan sanggup membatalkan haji demi bantu orang susah. Sudah tentu menteri agama pun tahu mengenai kisah popular ini.

Batal haji bantu orang susah

Kisah terkenal itu mengenai seorang ahli hadis yang kaya, Abdullah bin al-Mubarak. Beliau secara kebiasaannya akan menunaikan haji selang setahun. Semasa dalam perjalanan menuju haji, seorang rombongannya membuang seekor burung mati ke tong sampah, lalu beliau terlihat seorang budak perempuan mengutip bangkai tersebut. Justeru beliau menyelidiki dan bertanya kepada perempuan itu atas perbuatannya itu. 

Jawab budak perempuan itu: “Kami sudah berhari-hari terpaksa makan bangkai sejak ayah kami dirompak dan dibunuh. Kami tiada apa nak makan.”

Ibn al-Mubarak kemudian bertanya pada pembantunya: “Berapa yang kita ada?” Jawabnya: “1,000 dinar”. Kemudian, beliau berkata kepada pembantunya: “Ketepikan 20 dinar untuk belanja kita balik, dan selebihnya (980 dinar) berikan kepada budak perempuan ini. Ini lebih afdal daripada ibadat haji kita pada tahun ini.”

Lihatlah sikap orang kaya seperti Ibn al-Mubarak yang sanggup memberikan hampir keseluruhan harta yang dibawanya untuk urusan haji itu supaya disalurkan kepada orang susah yang lebih memerlukan bantuan. 

Beliau akhirnya berpatah balik dengan penuh gembira kerana dapat membantu kehidupan keluarga yang susah berbanding kepentingan dirinya sekadar mahu menunaikan haji.

Pendirian seperti ini pernah disebutkan Syeikh Yusuf al-Qaradawi, seorang ulama Islam yang tegas menyatakan bahawa ganjaran memberi makan kepada orang kelaparan, gelandangan, lebih baik di sisi Tuhan berbanding membelanjakan wang tersebut untuk haji serta umrah setiap tahun. 

Namun pandangan beliau tidak diendahkan oleh kebanyakan Melayu Islam yang kaya dan degil seolah menafikan seruan tersebut. Manakala golongan masyarakat Melayu Islam lain pula berpandangan bahawa seruan itu khusus kepada mereka yang bukan pertama kali iaitu orang kaya yang menunaikan haji banyak kali sekali gus menafikan penangguhan seruan haji itu kepada orang yang pertama kali.

Akhirnya, sikap kemaruk dan pentingkan diri dari kedua-dua golongan ini dalam pelaksanaan ibadah haji tanpa mengenal waktu dan keadaan tidak diendahkan. Janganlah tamak mengejar pahala yang kita sangkakan itu besar ganjarannya tanpa kita sedari kesusahan orang lain di sekeliling kita. 

Tuhan tidak buta

Sebagai Muslim, kita harus memahami soal kepentingan diri dan kemaslahatan umum yang lebih mustahak. Ia mengajar sikap tidak pentingkan diri demi kebaikan bersama. Justeru fikah sentiasa berubah mengikut keadaan situasi. Sudah tentu fikah bergerak mengikut kemaslahatan awam. Sesuatu hukum wajib boleh menjadi sunat atau makruh. Maka sifat fikah anjal dan berubah-berubah.

Apatah lagi situasi pandemik hari ini. Umat hidup dalam kesusahan dengan berbagai musibah dari pelbagai sudut. Di samping penyakit wabak yang belum reda, menangguhkan haji di kala saat ini harus dipertimbangkan walaupun sudah mendapatkan vaksin. Sebaliknya seru kepada semua orang yang berniat menunaikan haji sama ada pertama kali atau sebaliknya tentang kefahaman fikah dan Islam yang “common sense” dan anjal ini dalam perspektif situasi wabak pandemik hari ini. 

Justeru, seruan ulama untuk tumpu bantu orang susah dengan  menangguhkan haji bukan lagi untuk orang kaya sahaja, tetapi harus difahami semua orang. Oleh kerana itu umat harus tumpu kepada ibadah yang menyangkut kemaslahatan umat seluruhnya termasuklah melindungi nyawa dan menjamin kestabilan hidup. Maka tangguh haji itu bukan bermakna kita menidakkan panggilan penting Tuhan. 

Demikian Tuhan juga menilai amalan bantu orang susah ini sama seperti amalan haji. Jadilah Muslim bertimbang rasa, memahami kesusahan orang dengan mengenepikan sedikit hasrat diri. Tuhan tidak buta. Dia Maha Mengetahui segalanya. Tuhan adil dalam setiap perkara kita kerjakan.

Kerana itu ada kisah mengenai seorang lelaki yang mendapat ganjaran haji sedangkan lelaki tersebut hanya di rumah tidak pergi ke Mekah sekali pun. 

Kisahnya begini: Seorang lelaki bertemu seorang ahli sufi terkenal; Bisyr bin al-Harith untuk mengucapkan selamat berpisah untuk mengerjakan ibadah haji buat kali kedua. 

Lalu ditanya Bisyr kepada lelaki itu “Berapa kos yang kau sediakan?” Jawabnya “Dua ribu dirham.” Bisyr bertanya lagi “Apa yang kau cari dengan hajimu? Kezuhudan? Kerinduan ke Baitullah? Atau mencari reda Allah?” Maka dijawab lelaki itu, dia mencari keredaan Allah.

Maka Bisyr berkata bahawa reda Allah boleh diraih sedangkan hanya duduk di rumah dengan menginfakkan dua ribu dirham untuk menolong orang miskin, orang yang kesusahan, membantu keluarga susah dan gembirakan anak yatim. Kerana membahagiakan hati seorang Muslim dalam kesusahan itu adalah lebih utama daripada seratus kali pergi haji.

Bukankah menginfakkan harta membantu orang susah itu besar ganjarannya?

Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah: “Wahai Rasulullah, apakah sedekah yang paling besar pahalanya?” Rasulullah SAW bersabda, “(Sedekah yang paling besar ganjarannya ialah) engkau bersedekah sewaktu engkau sihat sedangkan hatimu berasa sangat kedekut (untuk bersedekah), jiwamu sedang takutkan kemiskinan, dan engkau bercita-cita mengharapkan kekayaan.” Riwayat al-Bukhari.

Ihsan dalam ibadah

Mustahil seorang menteri agama gagal untuk memahami hal ini. Beliau harus tahu kepentingan hal ibadah yang menyangkut perihal ihsan. Mengajak umat menyelami kesusahan orang lain itu adalah ibadah lebih mustahak berbanding mengajak umat untuk menyibukkan diri dalam ibadah haji. 

Umat perlu dibimbing dengan ajaran Islam “ihsan” dan fikah keutamaan. Jangan diikut nafsu sebahagian orang Melayu Islam jahil agama bahkan pentingkan diri dalam soal ibadah apatah lagi niat mahu menyuci dosa, dan berbagai kepentingan lain.

Jadi, serulah kefahaman insan kepada bakal jemaah haji mengenai pelaksanaan haji saat kini bahawa masih belum masanya lagi dan harus tumpu bantu orang susah dengan duit yang kita ada ini. 

Boleh jadi Tuhan mengangkat darjat lebih tinggi kepada orang yang sabar dan ihsan dalam diri ketika membantu kehidupan sosial melebihi kepentingan diri. 

Alangkah baik andai Melayu Islam kaya hari ini dapat faham tentang keluasan Islam yang menyangkut ibadah sosial sekali gus mengorbankan kepentingan diri sendiri dan melebihi urusan orang lain dengan menginfakkan kos pembelanjaan haji mereka itu. Justeru digunakan kos itu untuk membantu saudara-saudara kita yang terkesan dengan musibah wabak Covid-19. 

Begitulah penting peranan Menteri agama dalam mengajarkan kepentingan berlaku ihsan dalam ibadah sebagaimana diserukan oleh Sheikh Dr Ali Muhyiddin al-Qaradaghi dalam usaha memahamkan umat bahawa tuntutan ibadah haji boleh ditangguhkan demi menitikberatkan soal kebajikan sosial – ihsan.

Mungkin menteri agama boleh serukan kepada masyarakat Melayu Islam untuk tumpu bantu kepada orang susah dahulu daripada sibuk mahu mengejar tuntutan ibadah haji. 

Kita tidak mahu melahirkan masyarakat Melayu Islam yang banyak hajinya tetapi korup dan makan rasuah.

Maka, ketika negara menuju kerosakan di samping umat yang tersepit dalam kesusahan hidup betapa kita mendambakan kefahaman agama yang luas dan ihsan daripada seorang menteri agama. – 14 Julai, 2021.

* Mohd Syazreen Abdullah adalah penulis buku Bercakap dengan Quran dan Membebaskan Allah Dari Islam. Beliau bekas penuntut pengajian Islam di Universiti Yarmouk, Jordan dan aktif menulis tentang isu-isu pemikiran agama dan budaya.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen